Timbang guna logo BN di Kelantan, Terengganu, kata pemimpin Pakatan


Mohd Farhan Darwis Ravin Palanisamy

Pemimpin akar umbi PH mencadangkan calon mewakili kerajaan perpaduan menggunakan logo BN dalam PRN di Kelantan dan Terengganu yang majoriti pengundi adalah Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mei 2023.

KEPIMPINAN tertinggi Pakatan Harapan (PH) perlu mempertimbangkan untuk calon mewakili kerajaan perpaduan menggunakan logo Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri (PRN) di negeri dengan pengundi majoriti Melayu, kata akar umbi gabungan.

Naib Pengerusi DAP Kedah Zulhazmi Shariff berkata, negeri di Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu merupakan kawasan tradisi pertempuran parti Melayu seperti Umno dan PAS, dengan pengundi lebih mengenali logo gabungan masing-masing.

“Pantai Timur memang kita boleh kata kawasan majoriti 80% hingga 85% Melayu, maksudnya memang munasabah kalau nak pakai logo BN, sebab di situ memang sejarah sebelum PRU, antara BN dan PAS, PH boleh menang, masuk satu dan dua (kawasan) tapi tak boleh menang lama.

“Kalau Pantai Timur bagi saya tiada masalah kalau pakai logo BN sebab dekat situ memang kita tahu Pantai Timur, di Terengganu dan Kelantan kalau tak PAS, Umno… dan benda ni bukan baru,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui baru-baru ini di Kuala Lumpur.

Namun, strategi sama katanya tidak boleh diguna pakai bagi kawasan Pantai Barat.

Di kawasan Pantai Barat, Zulhazmi berpandangan perlu ada kajian terperinci memandangkan terdapat perbezaan pola pengundian dan demografi pengundi di negeri tersebut.

“Di Pantai Barat kalau kita tengok statistik pecahan dan pola penduduk pun PH lebih dominan berbanding dengan BN.

“Kena kaji balik statistik itu dengan lebih lanjut supaya baru kita boleh buat keputusan sama ada nak guna satu logo atau dua logo, PH atau BN,” kata calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) DAP bagi kawasan Parlimen Jerai itu.

“Kalau tanya saya secara peribadi di Kedah kalau Umno atau BN bertanding atas logo PH ia lebih baik,” tambahnya.

Negeri di Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu merupakan kawasan tradisi pertempuran parti Melayu seperti Umno dan PAS, dengan pengundi lebih mengenali logo gabungan masing-masing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mei 2023.

Kelantan, Terengganu dan Kedah adalah tiga negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin PAS, yang belum menjalankan pilihan raya selepas tidak membubarkan DUN bersekali dengan negeri lain pada PRU15 lepas.

Negeri tersebut kini menjadi sasaran PH yang menguasai Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, dan turut akan terlibat dalam PRN akan datang.

“Macam di Kelantan, saya faham sentimen Melayu lebih kuat. Melayu Islamnya lebih kuat berbanding negeri lain seperti Kedah, Perlis dan Perak yang agak sederhana.

“Tetapi macam kita tengok di Negeri Sembilan, kalau kita kata kerajaan perpaduan kuat, tiada pembangkang, jadi nak pakai logo siapa?

“Itu saya kata kita kena tengok lebih teliti,” tambahnya.

Ketua Pemuda Amanah Kelantan Hazmi Hassan pula melihat perkara berkaitan logo perlu dibincangkan lebih lanjut memandangkan ia haruslah boleh diterima semua pihak.

Jelasnya, jika salah strategi, mereka berisiko tewas.

“Untuk negeri Kelantan soal logo sebenarnya masih belum dibincang secara khusus, pun begitu di Kelantan logo yang terbaik boleh digunakan saya kira logo yang boleh terima dari kedua-dua parti baik dari Umno dari PH sendiri.

“Dua-dua (logo) ada kelebihan dan ada persetujuan cuma kita mencari yang terbaik dikalangan yang terbaik tetapi kalau sama ada logo PH ataupun logo BN jadi kami melihat kedua-dua ada potensi.

“Umno sudah menawarkan (guna logo) dan PH juga tiada keberatan kalau Umno nak guna PH. Saya kira pimpinan akan buat kajian lagi yang akan dipersetujui kedua-dua parti.  

“Kita bimbang kalau silap strategi menyebabkan kita hilang kerusi,” katanya.

PH lebih dominan berbanding dengan BN di kawasan Pantai Barat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mei 2023.

Walaupun jika diukur dari segi sentimen, Umno sudah bertapak lama di Kelantan dan pernah hampir menguasai negeri itu pada PRU, kedua-dua pihak boleh menggunakan logo masing-masing, katanya.

“Dari segi sentimen Umno lebih lama di Kelantan dan Umno hampir menang 22 kerusi tahun 2004, jadi faktor itu mungkin boleh menjadi satu kekuatan.

“Saya kira mungkin Umno boleh guna logo Umno, PH boleh guna logo PH,” katanya.

Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, ketua Cabang PKR Ampang pula berkata, isu logo akan diperhalusi pucuk pimpinan namun menegaskan calon PH harus menggunakan logo parti itu di Selangor.

“Untuk Selangor, tidak logik (kalau PH pakai logo lain) tapi bagi negeri lain saya tak pasti.

“Tetapi berdasarkan data di akar umbi (Selangor), tidak patut guna logo lain selain logo PH,” katanya yang lebih dikenali sebagai Altimet.

Sementara itu, Naib Presiden Amanah Adly Zahary pula berkata segala cadangan yang dibangkitkan akan dibawa kepada pucuk pimpinan parti untuk diputuskan.

Namun, keutamaan katanya adalah untuk menunjukkan kesepakatan parti dalam kerajaan perpaduan menghadapi PRN.

“Kita akan putuskan di peringkat BN dan PH. Memang ada banyak cadangan, semua kebarangkalian kita ambil kira.

“Sebab bagi kita yang paling penting kita nak tunjuk kita sepakat dan ada kredibiliti, semua faktor itu diambil kira dan kita akan putuskan di peringkat PH dan BN,” katanya.

Kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim didukung 19 parti politik dan 148 ahli Parlimen bakal berhadapan cabaran di PRN di enam negeri akan datang.

Hujung minggu lalu, berlangsungnya Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang pertama, selepas kerajaan dibentuk sejurus PRU15.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi pada 11 Mei berkata, gabungan itu masih belum memuktamadkan sama ada akan membenarkan rakan sekutunya dalam kerajaan perpaduan bertanding menggunakan lambang pada PRN akan datang.

Namun begitu, Dewan Tertinggi BN katanya telah memutuskan calon gabungan itu akan menggunakan lambang dacing pada PRN nanti. – 17 Mei 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen