MENTERI Umno akan membangkitkan isu penggunaan kalimah Allah dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok susulan keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan mahkamah, kata Azalina Othman Said.
Ketua Penerangan Umno itu berkata isu itu perlu ditangani dengan penuh cermat kerana ia melibatkan sensitiviti agama.
“Penyelesaian yang komprehensif harus dibincangkan dan dicapai mengenai penggunaan yang harus merangkumi pendekatan undang-undang yang dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan serta pendekatan bukan kehakiman lain.
“Isu penggunaan kalimah Allah hendaklah dikendalikan dengan penuh cermat kerana ia melibatkan sensitiviti agama, kebebasan beragama, dan keharmonian antara rakyat berbilang kaum.” kata Azalina dalam satu kenyataan hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) berkata Umno akan berdiri teguh dan mempertahankan Islam sebagai agama rasmi persekutuan selain menghormati kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataannya dibuat berikutan keputusan kerajaan menarik semula rayuannya kepada mahkamah untuk menghalang orang bukan Islam daripada menggunakan kalimah Allah untuk menggambarkan Tuhan di Malaysia.
Notis pemberhentian itu difailkan pada 18 April oleh peguam kanan persekutuan yang mewakili Jabatan Peguam Negara.
“Perayu (menteri dalam negeri dan kerajaan) tidak berhasrat untuk meneruskan notis rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan menolak keseluruhan rayuan ini tanpa perintah mengenai kos,” notis itu dilihat oleh The Malaysian Insight.
Putrajaya pertama kali memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain dalam konteks agama pada 12 Mac 2021. – 16 Mei, 2023.
Berita penuh di sini.
Komen