Tuaran kini zon merah Covid, kes jangkitan melonjak


Orang ramai di Tuaran dinasihati memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam yang sesak, susulan jangkitan kes baharu yang meningkat di daerah itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei, 2023.

TUARAN, daerah yang terletak kira-kira 40km dari Kota Kinabalu, Sabah diklasifikasikan sebagai zon merah Covid-19 susulan merekodkan peningkatan kes jangkitan minggu lalu.

Timbalan Ketua Menteri II Dr Joachim Gunsalam berkata daerah itu merekodkan 26 kes antara 7 Mei hingga 13 Mei, berbanding 18 kes seminggu sebelum itu.

Dengan lebih 40 kes di daerah itu, katanya Tuaran perlu diletakkan sebagai zon merah.

Kawasan diklasifikasikan zon merah apabila terdapat 41 atau lebih kes Covid-19 didaftarkan untuk tempoh 14 hari.

Zon kuning bagi kes satu hingga 40 direkodkan, sementara zon hijau bagi kawasan tiada kes dilaporkan.

Gunsalam berkata daerah lain yang menunjukkan peningkatan kes minggu lalu adalah Sandakan, Kota Kinabalu, Kuala Penyu, Papar, Penampang, Beluran, Kota Belud, Beaufort, Keningau dan Kunak.

“Tiada kematian akibat Covid-19 dilaporkan di daerah itu minggu lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Hanya tiga daerah – Kinabatangan, Lahad Datu dan Tawau melaporkan peningkatan dalam kes mingguan sementara 16 daerah lain tidak merekodkan kes baharu, katanya.

Kes mingguan dikesan di Sabah menyaksikan peningkatan 69%, dengan 64 dilaporkan berbanding 38 minggu sebelumnya.

Gunsalam menggesa orang ramai menggunakan pelitup muka di tempat awam dan sesak susulan keadaan semasa. – 16 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen