AMERIKA Syarikat (AS) mengucapkan tahniah kepada rakyat Turkiye kerana pilihan raya presiden dan parlimen yang berlangsung secara “aman” di seluruh negara pada Ahad.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara John Kirby pada Isnin berkata pentadbiran Biden memuji “rakyat Turkiye kerana menyatakan hasrat mereka menerusi peti undi dengan cara yang aman” lapor Agensi Anadolu.
“Presiden (Joe) Biden tidak sabar-sabar untuk bekerjasama dengan sesiapa saja pemenang (pemilihan presiden).
“Dan sekali lagi, itu tidak jelas sekarang,” katanya kepada pemberita semasa taklimat dalam talian, sambil menyatakan ia “sudah tentu kelihatan seperti” akan berlaku pertembungan antara Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan pesaing utamanya, ketua pembangkang Kemal Kilicdaroglu.
“Rakyat Turkiye boleh membuat keputusan bagaimana kerajaan mereka akan datang, dan mereka jelas memandang serius kewarganegaraan mereka di sini dengan mengundi, dan kita hanya perlu melihat bagaimana ia berlaku,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Negara AS menyatakan keyakinan terhadap proses demokrasi di Türkiye semasa taklimat media.
Timbalan Jurucakap Vedant Patel berkata Türkiye “mempunyai tradisi mendukung demokrasi yang panjang dan membanggakan,” sambil menambah bahawa “kami percaya pihak berkuasa Turkiye akan melaksanakan pilihan raya presiden pusingan kedua selaras dengan undang-undang negara dan dengan cara yang konsisten dengan komitmennya kepada OCDE serta sekutu NATO”.
“Kami berharap untuk memperkukuh pakatan dan kerjasama kami dengan mana-mana kerajaan yang dipilih oleh rakyat Turki,” kata Patel.
Türkiye akan mengadakan pusingan kedua pada 28 Mei untuk memilih presiden selepas tiada calon memenangi majoriti dalam tinjauan Ahad, ketua pihak berkuasa pilihan raya negara itu mengumumkan pada Isnin.
Erdogan mendahului pencabarnya Kemal Kilicdaroglu pada pilihan raya yang diadakan pada Ahad, namun gagal memperoleh majoriti mutlak, kata Ahmet Yener, ketua Majlis Pilihan Raya Tertinggi, memetik keputusan tidak rasmi.
Peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya Ahad ialah 88.92%, dengan peratusan keluar mengundi di luar negara pada 52.69%, kata Yener.
Erdogan menamatkan pusingan pertama dengan memperoleh 49.51% undian, dengan Kilicdaroglu di tempat kedua dengan 44.88%, kata Yener. – Bernama, 16 Mei, 2023.
Komen