Angka kematian taufan Mocha meningkat kepada 29 orang 


Taufan Mocha mendarat di antara Cox's Bazar di Bangladesh dan Sittwe Myanmar yang membawa angin sehingga 195 km/j.– Gambar Facebook, 16 Mei, 2023.

ANGKA kematian akibat Taufan Mocha, yang melanda Teluk Benggala, meningkat kepada 29 orang semalam.

Taufan Mocha mendarat di antara Cox’s Bazar di Bangladesh dan Sittwe Myanmar yang membawa angin sehingga 195 km/j, ribut terbesar yang melanda Teluk Benggala dalam lebih sedekad.

Ribut itu sebahagian besarnya melalui kawasan itu pada lewat Ahad, tidak menjejaskan kem pelarian yang menempatkan hampir sejuta Rohingya di Bangladesh, yang mana menurut pihak berkuasa tiada kematian direkodkan.

Sebanyak 24 orang terbunuh di kawasan perkampungan Khaung Doke Kar di barat laut Sittwe, kata seorang ketua kem Rohingya kepada AFP, yang enggan namanya disiarkan kerana bimbang tindak balas daripada junta.

Beberapa orang lagi dikhuatiri hilang dari kawasan rendah, yang menjadi penempatan perkampungan Rohingya dan kem IDP, katanya.

Rakaman AFP dari kawasan itu menunjukkan bot nelayan rosak teruk hingga menjadi serpihan dan berlonggok berhampiran pantai.

Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh di Myanmar dan beberapa penduduk cedera, kata junta tentera dalam satu kenyataan awal, tanpa memberikan butiran lanjut.

Lebih 860 rumah dan 14 hospital atau klinik telah rosak di seluruh negara, katanya.

Setakat semalam, komunikasi masih terjejas dengan ibu negeri Rakhine, Sittwe, yang menempatkan kira-kira 150,000 orang paling teruk terjejas.

Ratusan penduduk yang berlindung di kawasan yang lebih tinggi mula kembali ke bandar yang mana sepanjang jalan dipenuhi pokok tumbang, tiang dan kabel elektrik, kata wartawan AFP.

Sekurang-kurangnya lima orang maut dan kira-kira 25 orang cedera di Sittwe, kata pekerja penyelamat tempatan Ko Lin Lin kepada AFP.

Mocha mendarat pada Ahad, membawa gelombang ribut dan angin kencang turut meruntuhkan sebuah menara komunikasi di Sittwe. – AFP, 16 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen