Malaysia seru komuniti antarabangsa sama-sama noktahkan penindasan Palestin


Israel terus menerus melakukan kekejaman di bumi Palestin hingga meragut nyawa yang tidak terkira ramainya. – Gambar AFP, 15 Mei, 2023.

MALAYSIA menyeru komuniti antarabangsa untuk bersama-sama memastikan ada noktah ke atas penindasan yang dipaksakan terhadap  Palestin.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata masanya sudah tiba untuk semua pihak menggalang kekuatan dengan matlamat menamatkan ketidakadilan ke atas rakyat Palestin.

“Bagi memperingati ulang tahun Nakba yang ke-75, Malaysia mengulangi komitmen dan solidariti yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin dalam menentang kebijakan imperialisme rejim aparteid Zionis Israel yang rakus dan menginjak prinsip-prinsip kemanusiaan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut Anwar, Malaysia berpegang teguh dengan pendirian mengutuk pendudukan haram Israel ke atas wilayah Palestin yang diceroboh serta penindasan terhadap penduduk Palestin yang dihalang daripada mendapatkan hak sebagai rakyat yang sah dan mutlak.

Anwar berkata, Malaysia selaku ahli dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Mengenai Pelaksanaan Hak yang Tidak Terpisah Penduduk Palestin (CEIRPP) yang menganjurkan acara memperingati Nakba itu juga menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memastikan Israel bertanggungjawab terhadap kekejaman yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB saban tahun.

Hari Nakba pada 15 Mei adalah untuk mengingati pengusiran ratusan ribu rakyat Palestin dari kediaman dan tanah air mereka pada 1948 selepas penubuhan Israel. – Bernama, 15 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen