90% pengguna di P Pinang terima bekalan air


Chow yang juga Pengerusi PBAPP berkata perbadanan itu sedang mengoptimumkan semua operasi bekalan air. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mei, 2023.

SEBANYAK 90 peratus daripada akaun pengguna yang mengalami gangguan air di Pulau Pinang sejak semalam berikutan penurunan mendadak paras air Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang yang menjejaskan pengeluaran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua sudah mula menerima bekalan air secara berperingkat hari ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata manakala baki 10 peratus lagi iaitu melibatkan 40,000 akaun pengguna di beberapa kawasan di Daerah Barat Daya iaitu bahagian pulau dijangka menerima bekalan air secara berperingkat sehingga Rabu ini.

Beliau berkata sejak semalam, lebih 400,000 pemilik akaun Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) melibatkan lebih dua juta pengguna di negeri itu mengalami gangguan bekalan air sama ada tiada langsung air atau tekanan rendah namun dalam tempoh 36 jam PBAPP berjaya memulihkan bekalan air untuk 90 peratus pemilik akaun.

“Manakala kira-kira 10 peratus yang masih belum menerima bekalan air iaitu antaranya melibatkan kawasan Jalan Sultan Azlan Shah, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Linang, Teluk Kumbar, Jalan Pondok Upeh, Bayan Lepas, Persiaran Mayang Pasir, Sungai Batu dan Gertak Sanggul.

Ketika ini terdapat 22 lori tangki  menghantar bekalan air ke kawasan terlibat dan kami akan menambahnya bagi memudahkan pengguna terjejas mendapatkan bekalan air,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di muka sauk Lahar Tiang,  di Kepala Baas yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP K Pathmanathan dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran negeri Mohd Nazri Yasmin.

Chow yang juga Pengerusi PBAPP berkata perbadanan itu sedang mengoptimumkan semua operasi bekalan air dengan matlamat memulihkan sepenuhnya perkhidmatan bekalan air di seluruh Pulau Pinang dan akan terus mengemas kini maklumat kepada pengguna-pengguna air di negeri itu.

Katanya semakan menunjukkan paras Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang berada pada paras 1.56 meter(m) hari ini berbanding 0.4m semalam dengan operasi pengabstrakan air mentah adalah pada 83 peratus.

“Operasi pengeluaran air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua mencapai tahap 100 peratus, kira-kira 1,000 juta liter sehari (JLH), PBAPP sedang berusaha untuk mengepam air mentah pada tahap maksimum daripada Sungai Muda selain melepaskan air daripada Empangan Mengkuang.

Dalam jangka masa sembilan jam lalu, PBAPP mengepam sejumlah besar air terawat ke semua kawasan-kawasan bekalan di Seberang Perai dan Pulau Pinang (bahagian pulau),” katanya.

Beliau turut menggesa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian kerosakan pintu kawalan air di Sungai Muda itu kerana ia memberi kesan kepada  jutaan pengguna air di Pulau Pinang dan Kedah.

Semalam media melaporkan kira-kira 252,000 akaun pengguna di tiga daerah iaitu Kuala Muda, Kulim dan sebahagian kawasan Baling di Kedah terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual disebabkan penurunan mendadak paras sungai yang berpunca daripada kerosakan pintu kawalan air Sungai Muda.

Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) dalam kenyataan memaklumkan gangguan bekalan air di tiga daerah itu bermula pada pukul 7.25 pagi semalam dan kejadian luar jangka itu mengakibatkan pengoperasian LRA Sungai Petani/Pinang Tunggal dan LRA Kulim Hi-Tech terpaksa dihenti tugas buat sementara waktu sehingga paras sungai kembali stabil. – Bernama, 15 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen