PIHAK berkuasa sempadan AS merekodkan penurunan 50% bagi pengendalian kes membabitkan pendatang tanpa izin melintasi sempadan selatan sejak dasar penghijrahan ‘Title 42’ negara itu berakhir, kata ketua keselamatan tanah air negara itu semalam.
“Sejak dua hari lalu, rondaan sempadan Amerika Syarikat mengalami penurunan 50% berbanding apa yang kami alami pada awal minggu ini,” Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Alejandro Mayorkas memberitahu rancangan bual bicara CNN ‘State of the Union’.
“Kita kini di hari ketiga,” katanya sambil menambah ‘terlalu awal’ untuk meramal jangkaan kadar lintasan sempadan pada masa hadapan.
Title 42 membenarkan Amerika Syarikat mengusir pelbagai migran atas alasan kesihatan awam, tetapi kuasa itu ditamatkan pada Khamis lepas apabila kerajaan menamatkan pengisytiharan Covid-19 sebagai kecemasan kesihatan awam rasmi.
Mayorkas berkata kira-kira 6,300 orang menyeberangi kawasan sempadan pada Jumaat dengan 4,200 menyeberangi pada Sabtu, angka yang digambarkan sebagai penurunan ketara berbanding 10,000 orang menyeberang sehari awal minggu ini.
Pentadbiran Biden ketika mahu menamatkan Title 42 asalnya bersedia berdepan lonjakan aktiviti melintasi sempadan selain mengerahkan tentera mengawal kawasan perbatasan.
Kemudian semalam, Biden mengulangi penilaian Mayorkas bahawa jumlah melintasi sempadan telah menurun.
“Peralihan daripada Title 42 berjalan “lebih baik daripada yang anda semua jangkakan,” katanya kepada pemberita di Rehoboth, Delaware.
Daripada Title 42, Amerika Syarikat kembali kepada undang-undang imigresen yang dikenali sebagai Title 8 kerana pentadbiran Biden cuba mencipta sistem yang membenarkan laluan suaka dan undang-undang diperluas dalam beberapa kes.
Ia juga memperuntukkan hukuman yang ketat bagi mereka yang melintas yang tidak layak termasuk larangan lima tahun memasuki negara dan kemungkinan dakwaan jenayah. – AFP, 15 Mei, 2023.
Komen