PERANCIS hari ini mengumumkan puluhan lagi kereta kebal ringan dan kenderaan berperisai untuk tentera Ukraine bersama-sama latihan untuk askar yang menggunakannya.
Dalam kenyataan bersama mereka Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky turut menggesa agar sekatan baharu dikenakan terhadap Rusia berhubung pencerobohannya ke atas Ukraine.
“Dalam beberapa minggu akan datang Perancis akan melatih dan melengkapkan beberapa batalion dengan berpuluh-puluh kenderaan perisai dan kereta kebal ringan termasuk AMX-10RC,” kata kenyataan itu.
Paris juga akan menumpukan usahanya dalam menyokong kapasiti pertahanan udara Ukraine untuk mempertahankan penduduknya daripada serangan Rusia.
“Ukraine dan Perancis bersetuju mengenai keperluan untuk meningkatkan tekanan kolektif ke atas Rusia melalui sekatan selanjutnya untuk melemahkan keupayaan Rusia meneruskan perang pencerobohan haramnya,” katanya.
Pengumuman mereka dibuat selepas Zelensky terbang ke Perancis semalam dan menyertai Macron untuk makan malam di Istana Elysee.
“Paris. Dengan setiap lawatan, keupayaan pertahanan dan serangan Ukraine semakin berkembang,” tulis Zelensky di Twitter ketika beliau terbang ke pangkalan udara Villacoublay.
“Hubungan dengan Eropah semakin kukuh, dan tekanan ke atas Rusia semakin meningkat,” tambahnya. – AFP, 15 Mei, 2023.
Komen