Erdogan dahului pusingan awal kiraan dalam pilihan raya Turki


Penyokong Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Parti AK (AKP) mengibarkan bendera di ibu pejabat Parti AK di Ankara, Turki. – Gambar AFP, 15 Mei, 2023.

PRESIDEN Recep Tayyip Erdogan mendahului dalam pusingan awal kiraan pilihan raya penting Turki semalam walaupun keputusan akhir mungkin berubah dengan ketara, lapor media kerajaan.

Erdogan memenangi 53.2 peratus undi dengan 34.4 peratus undi dikira manakala ketua pembangkang Kemal Kilicdaroglu mendapat 40.9 peratus undi.

Kebanyakan undi awal nampaknya dikira di daerah yang sangat pro-Erdogan di utara dan timur Turki.

Jurucakap Parti Rakyat Republikan (CHP) pimpinan Kilicdaroglu berkata kiraan dalaman pembangkang menunjukkan keputusan “positif”.

“Kami melihat gambaran positif, menurut data kami,” kata jurucakap parti CHP Faik Oztrak.

Datuk Bandar pembangkang Istanbul, Ekrem Imamoglu yang boleh dinamakan sebagai naib presiden jika Kilicdaroglu menang menggesa negara itu supaya tidak mempercayai angka yang dikeluarkan oleh agensi berita rasmi negara Anadolu Turki.

“Kami sama sekali tidak percaya Anadolu,” kata Imamoglu.

Pilihan raya yang diadakan semalam adalah antara yang paling penting di Turki dalam era pasca-Uthmaniyyah, memberikan penghakiman terhadap pemimpin paling lama berkhidmat di negara itu.

Kebanyakan tinjauan sebelum pilihan raya menunjukkan Kilicdaroglu menikmati sedikit kelebihan dan hampir mencapai ambang 50 peratus yang diperlukan. – Gambar AFP, 15 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen