Turkiye selesai memilih, Erdogan berdepan saingan sengit


Erdogan memerintah negara dengan 85 juta rakyat itu melalui salah satu era yang paling transformatif. – Gambar EPA, 14 Mei, 2023.

PUSAT pengundian Turkiye ditutup pada Ahad dengan pilihan raya sengit yang boleh menamatkan pemerintahan dua dekad Presiden Recep Tayyip Erdogan yang meletakkan negara majoriti Islam itu pada landasan lebih sekular.

Peratusan jumlah keluar mengundi juga dijangka besar kerana pengundian dianggap sebagai pungutan suara terhadap pemimpin paling lama berkhidmat di Turkiye dan partinya yang berteraskan Islam.

Ia adalah pilihan raya paling sukar untuk pemimpin berusia 69 tahun itu di mana rata-rata pengundi yang ditanya menjangka beliau akan kalah.

“Kami memerlukan perubahan, kami sudah muak,” kata petani Mehmet Topaloglu kepada AFP selepas mengundi di tengah-tengah runtuhan akibat gempa bumi yang meragut banyak nyawa pada Februari lalu hingga memusnahkan bandar Antakya dan bahagian lain di tenggara.

Erdogan memerintah negara dengan 85 juta rakyat itu melalui salah satu era yang paling transformatif dan memecah belah dalam sejarah 100 tahun pasca empayar Uthmaniyyah.

Erdogan berdepan pertandingan tiga penjuru dengan dicabar oleh calon pembangkang Kemal Kilicdaroglu dan Sinan Ogan.

Lebih 30 parti politik dan lebih 150 calon bebas akan bertanding.

Presiden dan ahli Parlimen yang dipilih akan memegang jawatan untuk tempoh lima tahun. – AFP, 14 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen