PM akan undang KM Sabah, MB Kelantan cari penyelesaian isu air


Anwar berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Perdana Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Kuala Lumpur hari ini yang dihadiri lebih 3,500 undangan dari 19 parti yang membentuk kerajaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Mei, 2023.

ANWAR Ibrahim akan mengundang Ketua Menteri Sabah Hajiji Nor dan Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob dalam tempoh dua minggu ini untuk mencari jalan menyelesaikan masalah air di kedua-dua negeri itu.

Perdana menteri berkata beliau amat komited dalam mencari jalan kepada isu tersebut setelah mendapat input permasalahan daripada pemimpin negeri berkenaan berhubung masalah yang membelenggu kedua-dua negeri sejak sekian lama itu.

“Saya akan undang Menteri Besar Kelantan dan Ketua Menteri Sabah dan pasukan untuk cari jalan untuk selesaikan (isu air) kalau pun perlu berbilion ringgit (diperlukan) kita mesti cari dan selesaikan tahun ini juga kerja-kerja.

“Yang penting setelah 60 tahun merdeka rakyat tidak boleh dibebankan sampai tidak ada air bersih untuk minum,” katanya dalam Amanat Perdana Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Kuala Lumpur hari ini yang dihadiri lebih 3,500 undangan dari 19 parti yang membentuk kerajaan.

Anwar berharap kerajaan negeri akan lebih mudah memberi kerjasama penuh dengan Kerajaan Persekutuan dalam merealisasikan hasrat berkenaan bagi memastikan rakyat tidak lagi terbeban dengan isu berkenaan.

“Macam Hajiji dia sudah beri jaminan kerjasama penuh dan di Kelantan saya minta dengan Menteri Besar dan saya persembahkan kepada Sultan Kelantan (Sultan Muhammad V) saya kata ini tiada kena mengena pilihan raya negeri (PRN) atau tidak, itu (pilihan raya) masalah kedua,” katanya.

Perdana menteri turut memuji Menteri Besar Kelantan yang sedia berunding dengan baik bagi mencari jalan penyelesaian kepada isu itu walaupun negeri berkenaan berbeza fahaman politik dengan kerajaan Persekutuan.

“Orang runding baik kita dua kali lebih baik, orang angkuh dan sombong tinggallah kamu dengan keangkuhan kamu,” katanya.

Anwar yang juga presiden PKR berkata, tidak ada masalah untuk kerajaan menangguh program besar-besaran bagi menyelesaikan isu keperluan rakyat termasuk air walaupun ia memerlukan peruntukan yang besar.

Beliau berkata ini memandangkan kerajaan perpaduan mahu menterjemahkan janji dengan segera dan tidak bertangguh bagi memastikan rakyat tidak sengsara dan mendapat infrastruktur yang baik.

“Ya dia perlukan dana besar, dia perlu sukuk, dia perlu bon itu masalah kita jangan bebankan rakyat. Sekarang kita cuba selesaikan, projek besar boleh tangguh tapi air, elektrik, jalan berlopak, sekolah daif, klinik daif itu memang peruntukan diberikan,” katanya. – Bernama, 14 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen