Anthony Loke yakin kerajaan perpaduan boleh bertahan selepas PRU16


Ravin Palanisamy Mohd Farhan Darwis

Anthony Loke berkata konvensyen hari ini satu pertemuan bersejarah, menunjukkan tahap komitmen untuk menstabilkan politik Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Mei, 2023.

PENTADBIRAN kerajaan perpaduan boleh kekal relevan dan berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) jika parti terus komited untuk bekerjasama, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

“Kami amat berharap sekiranya model kerjasama yang ada pada hari ini dapat diteruskan dan diperkukuh, sudah tentu ia akan membuka masa depan baharu untuk politik negara,” kata ahli Parlimen Seremban itu.

“Konvensyen (kerajaan perpaduan) hari ini bukan sahaja berdasarkan bentuk dan model kerjasama politik sejak kemerdekaan tetapi ini adalah permulaan baharu dalam masa depan Malaysia.

“Sekiranya kerjasama ini dapat diperkukuhkan dan sekiranya semua pihak yang membentuk kerajaan perpaduan hari ini ikhlas dan memberikan komitmen tertinggi kepada kerajaan ini, sudah tentu (pentadbiran) ini akan kekal selepas PRU16,” kata menteri pengangkutan itu kepada pemberita selepas konvensyen nasional kerajaan perpaduan yang julung kali diadakan.

Loke bersetuju dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang berkata pentadbiran semasa akan kekal berkuasa selepas PRU16 sekiranya parti dalam kerajaan perpaduan terus menyokong kepimpinan Anwar Ibrahim.

Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden Umno berkata beliau yakin kerajaan perpaduan akan diberi mandat untuk berkhidmat sepenggal lagi sekiranya melaksanakan dasar yang baik untuk kepentingan rakyat dan negara.

Loke berkata konvensyen hari ini adalah pertemuan bersejarah, menunjukkan tahap komitmen baharu untuk menstabilkan politik Malaysia.

“Semua pemimpin menyatakan komitmen mereka demi kemakmuran negara,” katanya.

Loke juga berkata akar umbi parti akan dapat menerima alasan pembentukan kerajaan perpaduan, sekiranya pemimpin parti masing-masing memberikan visi yang jelas kepada penyokongnya.

Beliau berkata kerjasama kerajaan perpaduan bukan sahaja untuk kepentingan pilihan raya negeri.

Konvensyen yang bertemakan “Madani – Mewajahi Masa Depan Malaysia” itu sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan bekas parti pesaing menjelang enam pilihan raya negeri. – 14 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen