GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) mahukan sebuah kerajaan perpaduan yang stabil dan kuat supaya ia dapat menumpukan tenaga untuk meningkatkan martabat negara di peringkat antarabangsa.
Pengerusi GPS Abang Johari Openg berkata Malaysia perlu berada dalam kedudukan yang kompetitif dengan negara jiran khususnya Indonesia yang sedang membangunkan Nusantara di Kalimantan.
Sehubungan itu, beliau yang juga Premier Sarawak berkata kerajaan perpaduan perlu menumpukan soal pembangunan antara wilayah khususnya bagi negeri yang bersempadan dengan negara jiran.
“Kedudukan kerajaan (Persekutuan) mesti melihat pada masa depan negara yang berdepan dengan banyak cabaran dan bersaing dengan jiran kita. Bila kita lihat (negara) jiran kita membangun, Malaysia juga perlu membangun sama.
“Misalnya di Sarawak, berjiran dengan Kalimantan iaitu Nusantara akan dibangunkan, apakah Malaysia di Sarawak hanya tengok sahaja? Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana beri peruntukan besar untuk pembangunan di Sarawak,” katanya dalam ucapan ketua pemimpin parti pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan hari ini.
Konvensyen itu julung kali diadakan, yang menghimpunkan lima gabungan 19 parti politik yang mendukung kerajaan perpaduan.
Abang Johari berkata kerajaan perpaduan juga perlu melakukan reformasi ekonomi negara berdasarkan bidang ekonomi baharu dan lebih mampan yang berteraskan tenaga diperbaharui serta menggunakan kemampuan anak watan.
Premier Sarawak itu seterusnya memberi jaminan Sarawak akan terus memainkan peranan dalam membantu merangka segala usaha membangunkan Malaysia.
“GPS akan terus bersama dengan kerajaan perpaduan untuk bersama-sama membangun negara tercinta ini,” katanya. – Bernama, 14 Mei, 2023.
Komen