BN akan dukung kerajaan Madani, kata Zahid


Mohd Farhan Darwis Ravin Palanisamy

Zahid ketika berucap pada Konvensyen sulung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, petang ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Mei, 2023.

BARISAN Nasional (BN) memberi jaminan akan menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menerajui kerajaan perpaduan sehingga lepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi juga yakin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar itu membawa mudarat lebih kecil berbanding dengan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut mengingatkan, kerajaan perpaduan yang wujud pada hari ini tidak akan dapat terbentuk tanpa kerusi BN.

“Umno dan BN biarpun 30 kerusi Parlimen kami adalah pelengkap, jika PH ada 82 kerusi tanpa yang 30 ini tidak ada kerajaan perpaduan.

“Yang kami fikir bukan kepentingan tetapi kita fikir tentang mudarat. Mana mudarat lebih besar dengan pihak di sana atau di sini.

“Tapi kami ambil keputusan mudarat kecil adalah dengan datuk seri dan mudarat itu menjadi keberuntungan kepada rakyat,” katanya, merujuk kepada Anwar.

Dalam ucapan di acara sulung  Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan hari ini, beliau seterusnya menyeru pemimpin parti agar terus menyokong Anwar dan mempertahankan kerajaan.

“Saya yakin jika kita sederap membantu Anwar, saya yakin idealisme diterjemah dalam dasar yang baik, kerajaan madani pasti melepasi PRU16.

“Jangan menoleh ke belakang. Di sana ada orang tidak suka dengan kita, ada orang kritik kita. (Usah) pedulikan soal itu, rakyat mahu kerajaan perpaduan ini maju ke hadapan demi rakyat.”

Kerajaan perpaduan merangkumi 19 parti bergabung dengan 148 kerusi majoriti daripada 222 kerusi Parlimen di Dewan Rakyat.

Konvensyen sulung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur petang ini. – 14 Mei, 2023.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen