PRESIDEN Indonesia Joko Widodo pada Ahad mengucapkan terima kasih kepada pemimpin serantau atas kehadiran mereka pada sidang kemuncak minggu lalu, sambil menegaskan mesyuarat itu mengukuhkan Asean untuk menjadi kuasa pusat dalam membawa keamanan dan pertumbuhan.
Menurut presiden yang lebih dikenali sebagai Jokowi itu, pertemuan dan perbincangan dalam kalangan pemimpin itu berlangsung dalam “suasana akrab, mesra dan menyenangkan.”
“Dalam ikatan yang kukuh sebagai keluarga serantau, saya percaya Asean akan dapat menjadi pemain utama dalam membawa keamanan dan pertumbuhan yang mempunyai aset kukuh sebagai pusat pertumbuhan ekonomi yang berkembang jauh melebihi purata global, bonus demografi selain kestabilan rantau ini,” tulis beliau di Instagram.
Jokowi menegaskan pemimpin Asean berkumpul untuk membincangkan pelbagai cabaran serantau di tengah-tengah situasi ekonomi global yang belum pulih sepenuhnya, persaingan global yang lebih sengit dan dinamik global yang semakin tidak menentu.
“Terima kasih pemimpin Asean atas kehadiran di Labuan Bajo. Mari kita bekerja keras untuk menjadikan Asean Matters: Epicentrum of Growth,” katanya.
Lapan ketua kerajaan daripada 10 negara anggota Asean menghadiri sidang kemuncak itu kecuali Myanmar yang tidak dijemput dan Thailand yang menghadapi pilihan raya.
Pada akhir sidang kemuncak yang produktif, pemimpin mengulangi keperluan untuk dialog dan menamatkan keganasan di Myanmar, mengesahkan komitmen mereka untuk melindungi pekerja migran dan mangsa pemerdagangan manusia selain mengukuhkan kerjasama ekonomi untuk penduduk Asean yang berjumlah kira-kira 668 juta.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang pertama kali mengambil bahagian pada sidang kemuncak pemimpin, berkata sidang kemuncak itu amat bermakna kerana negara anggota memperkukuh kerjasama serantau.
Sidang kemuncak Asean ke-42 yang berlangsung di Labuan Bajo, Manggarai Barat, wilayah Nusa Tenggara Timur, adalah yang pertama daripada dua sidang kemuncak Asean yang akan dilaksanakan oleh Indonesia selaku pengerusi Asean pada 2023.
Sidang kemuncak Asean ke-43 akan berlangsung di Jakarta pada September dengan pemimpin Asean dan rakan kongsi luar Asean akan membincangkan pembangunan dan pengukuhan kerjasama Asean dengan rakan luarnya. – Bernama, 14 Mei, 2023.
Komen