PENURUNAN mendadak paras air Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang yang menjejaskan pengeluaran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, George Town menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Pulau Pinang bermula hari ini dan dijangka hingga Rabu ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) K Pathmanathan berkata keadaan tidak diduga itu menjejaskan bekalan air untuk beribu-ribu pengguna air di Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Selatan (SPS) dan kawasan selatan Pulau Pinang.
“Kira-kira 5.00 pagi tadi kejadian berkemungkinan berlaku di hulu Sungai Muda, Kedah itu menyebabkan paras air mentah di muka sauk Lahar Tiang PBAPP menurun ke bawah satu meter(m) dan paras normal adalah melebihi dua meter ekoran itu PBAPP tidak dapat mengabstrak air mentah dari Sungai Muda.
“Sungai itu merupakan sumber air mentah utama Pulau Pinang dan lebih daripada 80 peratus air mentah yang diambil PBAPP setiap hari untuk menghasilkan air terawat berasal dari Sungai Muda seterusnya sumber air mentah dari Sungai Muda disalurkan ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya LRA Sungai Dua ialah LRA terbesar dan terpenting di Pulau Pinang dan air terawatnya dibekalkan ke seluruh Seberang Perai dan juga ke kawasan selatan Pulau Pinang dan ekoran kejadian itu, LRA Sungai Dua tidak dapat mengeluarkan isipadu biasa iaitu kira-kira 1,000 juta liter sehari (JLH) air terawat.
Pathmanathan berkata PBAPP sedang menyalurkan air dari Empangan Mengkuang untuk menyokong pengeluaran air di LRA Sungai Dua namun pengeluarannya terhad kepada 300 JLH, yang tidak mencukupi untuk menampung kekurangan dari Sungai Muda.
Katanya, ketika ini pengeluaran air terawat di LRA Sungai Dua dihadkan kepada 600 JLH hingga 650 JLH iaitu sehingga PBAPP boleh menyambung semula operasi pengabstrakan air mentah 100 peratus di Lahar Tiang.
“PBAPP tidak tahu bila ‘pemulihan’ ini akan berlaku dan kami juga tidak dapat menyatakan dengan pasti bila perkhidmatan bekalan air di Pulau Pinang akan dinormalisasi sepenuhnya untuk semua pengguna kerana kami tidak tahu dengan tepat bila paras Sungai Muda akan pulih kepada dua meter atau lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata pasukan kejuruteraan PBAPP sedang bekerja sepanjang masa untuk mengoptimumkan operasi pengabstrakan air mentah di muka sauk Lahar Tiang dan operasi pengeluaran air di LRA Sungai Dua.
“Kami akan merawat air sebanyak mungkin dalam keadaan sekarang untuk membekalkan kepada seramai mungkin pengguna di Pulau Pinang dan pengguna yang masih mempunyai bekalan air perlu menyimpan air untuk kegunaan dalam beberapa hari akan datang,” katanya.
Terdahulu media melaporkan kira-kira 252,000 akaun pengguna di tiga daerah iaitu Kuala Muda, Kulim dan sebahagian kawasan Baling di Kedah terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual disebabkan penurunan mendadak paras sungai yang berpunca daripada kerosakan pintu kawalan air Sungai Muda.
Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan gangguan bekalan air di tiga daerah itu bermula pada pukul 7.25 pagi tadi dan kejadian luar jangka itu mengakibatkan pengoperasian LRA Sungai Petani/Pinang Tunggal dan LRA Kulim Hi-Tech terpaksa dihenti tugas buat sementara waktu sehingga paras sungai kembali stabil.
Komen