DAP tidak kawal kerajaan perpaduan, kata Anthony Loke


Ravin Palanisamy Mohd Farhan Darwis

Setiausaha agung DAP Anthony Loke menafikan dakwaan sesetengah pihak parti itu menguasai kerajaan perpaduan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Mei, 2023.

KERAJAAN perpaduan yang terdiri daripada gabungan 19 parti politik, tidak berada di bawah kawalan DAP, kata Anthony Loke.

Sambil menolak dakwaan sedemikian, setiausaha agung DAP itu berkata parti itu tidak pernah mengawal kerajaan pada bila-bila masa.

“Ada sesetengah pihak mendakwa memandangkan DAP terbabit dalam pembentukan kerajaan perpaduan, maka kerajaan ini dikuasai oleh DAP. Tetapi saya hanya mahu membiarkan fakta dibentangkan.

“Kerajaan hari ini disokong oleh 148 ahli Parlimen. Daripada 148 ahli Parlimen, 77 adalah Bumiputera yang beragama Islam, 16 Bumiputera bukan Islam, 43 Cina dan 12 orang India dan kaum lain.

“Maksudnya, majoriti dalam kerajaan perpaduan ini masih disokong oleh ahli Parlimen Melayu yang beragama Islam dan Bumiputera,” kata ahli Parlimen Seremban itu semasa berucap pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang julung kali diadakan di Pusat Dagangan Dunia.

Selepas penubuhan kerajaan perpaduan tahun lalu, parti Islam PAS menyiarkan di media sosial dengan poster yang menuduh DAP sebagai “parasit” yang menunggang kerajaan perpaduan Melayu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim terpaksa memberi jaminan kepada pengundi DAP tidak akan mengawal kerajaan sekiranya gabungan itu memenangi pilihan raya dan perdana menteri baharu akan terus berbangsa Melayu.

Loke, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata adalah penting bagi kerajaan perpaduan mewujudkan kerjasama yang baik dan memastikan wujudnya hubungan baik dalam negara.

Beliau berkata antara faktor utama untuk membentuk kerajaan perpaduan adalah memastikan kestabilan politik, mempertahankan kepelbagaian dan pluralisme, serta menjalin kerjasama baik antara kaum, agama dan wilayah.

Konvensyen kerajaan perpaduan bertemakan “Madani – Mewajahi Masa Depan Malaysia” adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan bekas parti pesaing menjelang pilihan raya negeri akan datang di enam negeri. – 14 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen