Ceramah, mengajar agama di Perak tetap perlukan tauliah


Perak tidak mengikut keputusan Pahang membenarkan 13 tokoh agama dan pendakwah diberikan pengecualian tauliah mengajar agama Islam di negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mei, 2023.

MANA-MANA individu yang mahu mengajar agama di masjid dan surau di Perak masih perlu mendapatkan pentauliahan selain penceramah juga wajib memperoleh kelulusan berceramah daripada pejabat agama daerah.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Harith Fadzilah Abdul Halim berkata individu berkenaan perlu akur kepada peraturan yang ditetapkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) selaku pembuat dasar kepada agensi agama di negeri itu.

“Perak tetap dengan keputusan, kalau nak berceramah di dalam negeri ini ada dua keadaan. Satu, mengajar di masjid atau surau perlu tauliah, tetapi kalau nak berceramah perlu mendapat kebenaran dan kelulusan daripada pegawai tadbir agama daerah berkenaan.

“Bermakna kalau dia dapat kelulusan daripada pejabat agama daerah, ikut prosedur dia bolehlah ceramah. Maksudnya kalau dia penceramah terkenal pun dia tetap kena (dapatkan kelulusan pejabat agama daerah),” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023 JAIPk bersama Persatuan Cina Muslim Ipoh di Ipoh hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Perak akan mengikut langkah Pahang yang memberi pengecualian tauliah mengajar agama Islam di negeri itu kepada beberapa tokoh agama dan pendakwah.

Pada 9 Mei, media melaporkan 13 tokoh agama dan pendakwah diberikan pengecualian tauliah mengajar agama Islam di Pahang.

Menurut sepucuk surat pekeliling ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang Ahmad Hairi Hussain semua yang diberi pengecualian tidak perlu memohon perakuan kebenaran mengajar agama Islam untuk mengajar agama atau berceramah di negeri itu. – Bernama, 14 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen