KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) meminta supaya pengendali syarikat penerbangan dan feri menambahkan jumlah perjalanan ke Langkawi, Kedah bagi menampung kapasiti pengunjung sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA 23) minggu hadapan.
Menterinya Anthony Loke berkata mereka diharap dapat memberikan kerjasama, kerana lebih ramai pengunjung dijangka tiba ke Langkawi dalam tempoh berkenaan untuk menyaksikan pameran bertaraf antarabangsa itu, yang pastinya amat memerlukan perkhidmatan mereka.
“Ini juga adalah tekanan daripada pasaran, ada permintaan sudah tentu ada penawaran, operator ini juga sudah tentu akan mengambil peluang untuk menambah kapasiti (jumlah perjalanan) mereka, sebab mereka memang tahu apabila pameran LIMA 23 ini diadakan, ramai pengunjung akan ke Langkawi.”
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan ulang tahun Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke-77 yang turut dihadiri Ketua Setiausaha MOT Jana Santhiran Muniayan dan Ketua Pengarah JPJ Zailani Hashim di Seremban hari ini.
Loke berkata kerja-kerja pengerukan alur pelayaran bagi laluan feri penumpang dari Kuala Perlis ke Langkawi juga selesai dilaksanakan mengikut jadual, sekali gus tidak akan mengganggu perjalanan feri semasa pameran LIMA 23.
Sementara itu beliau berkata banyak syarikat penerbangan dan maritim tempatan dan luar negara menunjukkan minat yang tinggi untuk mempamerkan produk mereka pada LIMA kali ini apabila semua reruai yang disediakan habis ditempah.
“Sambutan diterima cukup luar biasa, tiada satu pun booth kosong, semua ditempah, berapa jumlah sebenar (syarikat mengambil bahagian) itu akan kita maklumkan selepas mesyuarat penyelarasan LIMA 23 malam esok. Banyak juga perjanjian akan ditandatangani semasa pameran ini yang akan beri kelebihan kepada kita.
“Dari segi persiapan saya tak risau sebab kita dah ada pengalaman dan syarikat yang diberikan amanah anjurkan ia sudah tentu dah buat persiapan lebih setahun. Ia merupakan pameran yang amat dinanti-nantikan oleh semua,” katanya.
Pameran LIMA 23 dijadualkan berlangsung selama lima hari bermula 23 Mei ini dengan kali terakhir pameran dwitahunan itu diadakan adalah pada 2019 dan tidak diadakan pada 2021 susulan pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika itu.
Lebih 600 syarikat dari 60 buah negara dijangka mengambil bahagian dalam LIMA kali ini berbanding 400 syarikat pada edisi 2019. – Bernama, 14 Mei, 2023.
Komen