Jumlah kematian kultus kebuluran Kenya cecah 200 orang


Sebanyak 22 lagi mayat ditemui dipercayai akibat kultus kebuluran di Kenya. – Gambar AFP, 14 Mei, 2023.

ANGKA kematian di Kenya dipercayai akibat kultus kebuluran meningkat kepada 201 ketika pasukan menyelamat semalam menemui 22 lagi mayat dari hutan pantai, kata seorang pegawai kerajaan.

Polis percaya kebanyakan mayat yang ditemui di dalam hutan berhampiran bandar Malindi di Lautan Hindi adalah milik pengikut Paul Nthenge Mackenzie, seorang pemandu teksi yang bertukar menjadi pendakwah yang dituduh menghasut mereka untuk mati kelaparan “bagi bertemu Yesus”.

Pesuruhjaya Wilayah Pantai Rhoda Onyancha yang mengumumkan angka terkini berkata 26 orang ditangkap berhubung kematian itu termasuk Mackenzie dan “geng penguatkuasa” yang ditugaskan untuk memastikan tiada sesiapa yang berbuka puasa atau meninggalkan kawasan persembunyian hutan itu hidup-hidup.

Beliau berkata penyiasat akan menghentikan operasi menggali selama dua hari untuk menyusun semula usaha mereka dengan proses disambung semula pada hari Selasa.

Mackenzie belum lagi dikehendaki membuat pengakuan tetapi mahkamah pada hari Rabu memerintahkan dia ditahan selama tiga minggu lagi sementara menunggu siasatan lanjut berhubung insiden “Pembunuhan Beramai-ramai Hutan Shakahola”.

Pengasas Good News International Church yang berusia 50 tahun itu menyerahkan diri pada 14 April selepas polis yang bertindak atas maklumat memasuki hutan Shakahola.

Walaupun kelaparan menjadi punca utama kematian namun beberapa mangsa termasuk kanak-kanak dicekik, dipukul atau lemas, menurut ketua pakar patologi kerajaan Johansen Oduor.

Dokumen mahkamah yang difailkan pada Isnin mengatakan beberapa mayat dikeluarkan organnya dan polis mendakwa suspek terlibat dalam pengambilan paksa anggota badan.

Onyancha berkata lebih 600 orang dilaporkan hilang termasuk dari kampung sekitar hutan berkenaan. – AFP, 14 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen