DATUK bandar Paris mahu menjadikan semua pengangkutan awam percuma dalam usaha mengurangkan pencemaran udara, tetapi berdepan tentangan kuat daripada ketua jabatan pengangkutan wilayah yang mengatakan langkah itu akan menjejaskan pembayar cukai.
Datuk Bandar Anne Hidalgo daripada parti sosialis mengumumkan rancangannya pada Isnin bagi menjalankan kajian terhadap kebolehlaksanaan pengangkutan secara percuma di seluruh bandar, dan memberitahu akhbar Perancis, Les Echos beliau ingin membahaskan isu itu menjelang pilihan raya majlis tempatan pada 2020.
Hidalgo berkata semua bandar besar di dunia cuba membangunkan mobiliti yang bersih dan meningkatkan kualiti udara dengan mengurangkan bilangan kereta di jalan raya, matlamat yang memerlukan satu usaha agar menjadikan pengangkutan awam lebih menarik.
“Bagi meningkatkan mutu pengangkutan awam, kita bukan sahaja perlu menjadikannya lebih meluas, teratur dan selesa, kita juga perlu memikirkan semula sistem tambang,” katanya dalam satu kenyataan.
Tetapi ahli politik konservatif Valerie Pecresse, ketua wilayah Ile-de-France berhampiran Paris dan presiden pengangkutan IDFM, menolak cadangan Hidalgo, mengatakan jika pelancong tidak membayar, pembayar cukai perlulah menanggungnya.
“Hari ini, keutamaan kita ialah memodenkan pengangkutan. Jualan tiket memberi hasil tiga bilion euro (AS$3.7 bilion) setahun ... kita memerlukan wang itu,” kata Pecresse kepada Radio Classique.
Pecresse, yang mungkin mencabar Hidalgo dalam pemilihan datuk bandar pada 2020, mengatakan tidak adil menjadikan pengangkutan percuma di Paris tetapi bukan untuk mereka yang tinggal di pinggir bandar.
Hidalgo tidak menyatakan sama ada cadangannya akan meliputi hanya 2.2 juta penduduk Paris atau kesemua 12 juta penduduk di bandar dan rantau Ile-de-France. – 21 Mac, 2018.
Komen