Gencatan senjata di Gaza selepas 5 hari pertempuran


Penyokong pejuang Jihad Islam meraikan gencatan senjata di Semenanjung Gaza selepas lima hari pertempuran dengan tentera Israel. – Gambar AFP, 14 Mei, 2023.

GENCATAN senjata berkuat kuasa di dalam dan sekitar Semenanjung Gaza selepas lima hari pertempuran antara tentera Israel dan pejuang Jihad Islam berlangsung, mengorbankan sekurang-kurangnya 33 rakyat Palestin.

Pertempuran itu turut menyebabkan dua rakyat Israel terbunuh.

Gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 malam waktu tempatan, kata sumber Mesir dan Palestin.

Berpuluh-puluh bedilan roket dilepaskan dari Gaza ke arah Israel menjelang 30 minit sebelum gencatan senjata, bagaimanapun ia digagalkan oleh pasukan tentera udara Israel.

Rejim zionis berkata dua roket dibedil dari Gaza selepas jam 11 malam.

Sementara itu, pegawai keselamatan Mesir berkata cadangan gencatan senjata terbaru itu dipersetujui Israel dan kumpulan Jihad Islam.

Pejabat Perdana Menteri Israel dalam satu kenyataan berkata Penasihat Keselamatan Tsahi Hanegbi berterima kasih kepada Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi, selain menyatakan penghargaan Israel atas usaha gigih Mesir mengadakan gencatan senjata.

Sementara itu, pegawai bahagian politik Jihad Islam mengesahkan gencatan senjata itu dipersetujui mereka, selain berterima kasih kepada Mesir yang berusaha ke arah usaha berkenaan.

Rejim zionis semalam sekali lagi menggempur Gaza dengan serangan udara menyasarkan anggota kumpulan Jihad Islam susulan serangan roket baharu ke Israel, menandakan pengebumian komander tenteranya, Iyad al-Hassani yang terkorban, kelmarin. – AFP, 14 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen