Israel mengaku serang 'reaktor nuklear' Syria pada 2007


Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu juga telah berulang kali menyeru kepada perjanjian nuklear antara kuasa besar dunia dan Iran diubah atau dihapuskan. – Gambar EPA, 21 Mac, 2018.

TENTERA Israel pada Rabu buat pertama kalinya mengaku bertanggungajwab ke atas serangan udara terhadap reaktor nuklear yang disyaki milik Syria pada 2007.

Pengakuan bersama pendedahan bahan baru yang dikaitkan dengan serangan itu menyusul ketika  Israel terus memberi amaran atas kehadiran musuh utamanya, Iran.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu juga telah berulang kali menyeru kepada perjanjian nuklear antara kuasa besar dunia dan Iran diubah atau dihapuskan.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang menemui Netanyahu di White House bulan ini telah berkata perjanjian nuklear itu perlu “diperbaiki” menjelang 12 Mei, atau AS akan menarik diri.

Seorang jurucakap tentera Israel enggan mengulas kepada soalan berkaitan pengakuan tersebut dan pendedahan dokumen, termasuk masa, yang boleh dilihat sebagai satu amaran mengenai aktiviti Iran.

Bahan yang didedahkan itu termasuk rakaman serangan, video ucapan oleh Ketua Tentera Gadi Einskot berkenaan operasi dan gambar-gambar kenyataan perisik tentera rahsia tentang kawasan serangan.

Kenyataan tentera meringkaskan operasi itu membuktikan mengapa Israel menyerang kawasan padang pasir di wilayah Deir Ezzor di timur Syria, yang dikatakan sebuah reaktor nuklear yang sedang dalam pembinaan.

Sudah sekian lama Israel dikatakan dalang disebalik serangan tersebut. Sementara itu, Syria menafikan yang ketika itu ia sedang membina sebuah reaktor nuklear.

“Pada malam antara 5 hingga 6 September 2007, jet pejuang Tentera Udara Israel berjaya menyerang dan memusnahkan sebuah reaktor nuklear Syria yang sedang dalam pembinaan,” sebut kenyataan Israel.

“Reaktor itu hampir siap. Operasi itu berjaya memusnahkan ancaman terhadap Israel dan seluruh wilayah - keupayaan nuklear Syria.” – AFP, 21 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen