Imran Khan pulang ke rumah hari ini lepas dibebas dengan ikat jamin


Gambar terkini yang dikongsi Imran Khan di Facebook rasminya, malam ini. – Gambar Facebook Imran Khan, 13 Mei, 2023.

BEKAS perdana menteri Pakistan Imran Khan kembali ke rumahnya di Lahore hari ini sebaik dibebaskan dengan ikat jamin susulan penahanannya yang mencetuskan bantahan seluruh negara.

Mahkamah Agung pada Khamis memutuskan penahanan Imran pada Selasa oleh pasukan separa tentera sebagai tidak sah.

Bekas bintang kriket itu ditahan ketika hadir ke mahkamah Selasa lalu yang mencetus pertempuran ganas di beberapa bandar apabila penyokongnya membakar bangunan kerajaan, menutup jalan dan merosakkan harta benda tentera.

“Ketua parti terbesar negara diculik, malah diculik dari mahkamah tinggi di hadapan seluruh rakyat.

“Mereka melayani saya seperti pengganas, ini perlu ada pembalasan,” katanya kepada AFP dari Mahkamah Islamabad sebaik dibebaskan.

Pada awal pagi tadi, Khan tiba di kediamannya di Lahore disaksikan menerusi video disiarkan PTI kelihatan lebih 100 penyokong meraikan pembebasan tersebut dan melemparkan kelopak mawar ke atas kereta dinaikinya.

Peguam mewakili Khan Faisal Hussain Chaudhry berkata 10 pemimpin kanan PTI ditangkap semalam.

Menteri dalam negeri Pakistan berikrar menangkap semula Khan yang masih kekal popular menjelang pilihan raya yang bakal diadakan pada Oktober.  – AFP, 13 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen