WHO beri amaran wabak listeriosis kepada 16 negara Afrika


Notis pemberitahuan kepada pelanggan di bahagian sejuk beku di sebuah pasar raya di Cape Town, Afrika Selatan. Hampir 200 warga Afrika Selatan meninggal dunia sejak Januari 2017 akibat produk tercemar. – Gambar EPA, 21 Mac, 2018.

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran kepada 16 negara Afrika pada Selasa mengenai penularan wabak listeriosis yang bermula di Afrika Selatan pada 2017, dan mengesahkan sokongan badan dunia itu terhadap kesediaan serta respons mereka kepada penyakit tersebut.

Negara Afrika terbabit ialah Angola, Botswana, Republlik Demokratik Congo, Ghana, Lesotho, Madagascar, Malawi, Mauritius, Mozambique, Namibia, Nigeria, Swaziland, Tanzania, Uganda, Zambia dan Zimbabwe, lapor agensi berita China Xinhua.

Menurut angka WHO, hampir 200 warga Afrika Selatan meninggal dunia sejak Januari 2017 akibat produk tercemar daging sedia untuk dimakan, yang banyak digunakan di negara itu dan mungkin juga dieksport ke dua negara Afrika Barat serta 14 anggota Komuniti Pembangunan Afrika Selatan (SADC).

Pihak berkuasa kesihatan Afrika Selatan baru-baru ini mengisytiharkan sumber wabak itu adalah sebuah kilang di Polokwane, yang terletak di timur laut negara tersebut.

Ini mendorong produk makanan terbabit ditarik balik di peringkat nasional dan antarabangsa.

Bagaimanapun, berdasarkan tempoh inkubasi listeriosis berpotensi yang panjang dan cabaran berkaitan proses penarikan balik secara besar-besaran di seluruh negara, kes-kes selanjut mungkin berlaku.

Pada Mac, Afrika Selatan menganjurkan mesyuarat menteri-menteri kesihatan SADC bagi menangani persiapan serantau dan respons terhadap listeriosis.

Menteri terbabit memberikan komitmen kepada kerjasama serantau, pertukaran maklumat dan memperkukuh sistem keselamatan makanan nasional agar selaras dengan standard antarabangsa.

WHO, bagaimanapun, tidak mengesyorkan sebarang langkah berkaitan perdagangan dalam isu penularan wabak listeriosis di Afrika Selatan ketika ini, selain menarik semula produk yang dikenal pasti sebagai punca jangkitan.

Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kini bekerjasama dengan 16 negara utama untuk meningkatkan keupayaan mereka dari segi kesediaan mengesan dan bertindak balas terhadap potensi penularan wabak itu.

Langkah-langkah segera termasuk meningkatkan kesedaran mengenai listeriosis, memperkukuh pengawasan aktif dan diagnosis makmal, memastikan kesediaan Pasukan Respons Pantas serta memperkuat penyelarasan dan perancangan luar jangka.

Pakar dikerah ke Afrika Selatan, Lesotho dan Swaziland untuk membantu kesemua usaha ini.

Listeriosis adalah satu jangkitan bakteria yang sering disebabkan oleh Listeria monocytogenes.

Ia boleh menyebabkan penyakit yang teruk termasuk sepsis, meningitis atau ensefalitis, kadang-kadang kecederaan sepanjang hayat dan juga kematian.

Listeria ada di mana-mana dan berjangkit terutamanya melalui laluan oral selepas pengambilan produk makanan yang tercemar. – Bernama, 21 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen