DAP akan mendapat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai pada pilihan raya negeri akan datang, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
DAP memenangi kerusi itu pada pilihan raya negeri terakhir pada 2018 tetapi calonnya Bryan Lai meninggalkan parti itu pada 2021 untuk menjadi wakil rakyat bebas.
Beliau meninggalkan DAP di tengah-tengah dakwaan hubungan luar nikah sebelum menyertai Parti Warisan Sabah pada Januari 2021.
Lai menyatakan beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya negeri akan datang yang dijangka diadakan selepas Jun.
“Kita akan ikuti keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 di mana DAP memenangi kerusi itu.
“Tidak akan ada sebarang perubahan parti mana yang akan bertanding di kerusi Teratai dan DAP akan mewakili kerajaan perpaduan,” katanya kepada pemberita semasa pelancaran pusat khidmat ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung hari ini.
Pakatan Harapan dan Barisan Nasional kini berada di peringkat akhir rundingan untuk komponen bertanding dalam pilihan raya DUN 56 kerusi.
PKR kini memegang paling banyak kerusi di DUN Selangor dengan 19. Ia diikuti DAP (15) dan Amanah (6).
BN mempunyai 5 kerusi, diikuti Bersatu (4), Parti Bangsa Malaysia dan Pejuang (masing-masing 2) dan PAS, Warisan dan calon bebas masing-masing 1 kerusi.
Selain Selangor, lima negeri lain - Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan keluar mengundi tahun ini kerana tempoh DUN mereka akan tamat secara automatik menjelang separuh kedua 2023. – 13 Mei, 2023.
Komen