Ankara tetap teruskan hubungan strategik dengan Moscow


Rakyat Turkiye akan keluar mengundi bagi pilihan raya presiden dan parlimen pada Ahad. – Gambar fail AFP, 13 Mei, 2023.

TURKIYE akan mengekalkan hubungan strategik dengan Russia tanpa mengira keputusan pilihan raya presiden dan parlimen yang akan datang, memandangkan Moscow merupakan rakan kongsi penting Ankara, kata ketua Parti Inovasi Turkiye, Ozturk Yilmaz, kepada Sputnik.

“Mengenai hubungan dengan Russia, saya tidak jangkakan sebarang perubahan dramatik akan berlaku. Russia adalah rakan strategik kami dalam banyak aspek.

“Oleh itu sesiapa pun yang berkuasa, mereka tidak boleh mengabaikan realiti berkenaan,” kata Yilmaz.

Pada masa sama, ahli politik pembangkang itu mendakwa Kemal Kilicdaroglu yang dianggap sebagai lawan utama penyandang Presiden Recep Tayyip Erdogan, membuat “pelbagai janji” kepada Barat, kerana mahu menjalin kerjasama yang lebih erat dengan negara Barat.

“Beliau (Kilicdaroglu) bertindak seolah-olah mahu menjauhkan diri dari Russia dan menjalin hubungan yang lebih rapat dengan Barat. Beliau tidak bersendirian kerana orang di sekelilingnya memberikan idea itu,” dakwa Yilmaz.

Pilihan raya presiden dan parlimen Turkiye berlangsung pada 14 Mei.

Selain Erdogan dan Kilicdaroglu sebagai wakil pakatan pembangkang dan Sinan Ogan daripada ATA Alliance akan bersaing merebut jawatan presiden.

Berdasarkan tinjauan awal, masih belum dapat memberikan gambaran siapa yang bakal menang. Jika tiada calon memperoleh 50 undi, pemilihan pusingan kedua akan dijalankan pada 28 Mei.

Parti Inovasi adalah parti pembangkang Turkiye yang diasaskan oleh Yilmaz pada 2020 selepas beliau dipecat daripada Parti Rakyat Republikan susulan konflik dalaman. – Bernama, 13 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen