Perak teliti semula larangan guna beg plastik, polistirena


Exco Perak berkata satu dasar perlu dirangka selari dengan hasrat kerajaan Persekutuan yang menyasarkan sifar penggunaan beg plastik menjelang 2025. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2023.

KERAJAAN Perak sedang meneliti dan menyemak semula polisi larangan penggunaan beg plastik dan polistirena di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching.

Beliau berkata perkara itu sebelum ini turut dibangkitkan pada majlis mesyuarat kerajaan negeri, namun kerajaan negeri masih belum mempunyai dasar bagi pelaksanaannya.

Menurut Ng, bagi merealisasikan perkara itu, pihaknya akan bekerjasama dengan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim supaya satu dasar dapat dirangka selari dengan hasrat kerajaan Persekutuan yang menyasarkan sifar penggunaan beg plastik menjelang 2025.

“Kita nak tetapkan dasar memang mudah, namun paling penting pelaksanaannya untuk kita pastikan agensi kerajaan dan orang awam dapat menerima selain bersedia dengan pelaksanaan itu,” katanya pada sidang media di Batu Gajah, hari ini.

Ng berkata, kajian yang dilaksanakan itu juga meliputi kaedah pelaksanaan di negara yang menguatkuasakan larangan penggunaan beg plastik dan polistirena supaya dapat mewujudkan ruang alternatif lain untuk rakyat khususnya mereka dalam sektor perniagaan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan hasrat kerajaan negeri sama ada untuk meneruskan semula pelaksanaan larangan penggunaan beg plastik dan polistirena yang tertangguh pada 2017.

Media melaporkan Perak sebelum ini pernah mengumumkan larangan penggunaan dua bahan itu mulai Jun 2017, namun ia ditangguhkan bagi membolehkan kajian menyeluruh dijalankan terhadap pelaksanaannya. – Bernama, 13 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen