Menteri EU dan Indo-Pasifik bincang isu keselamatan


Kira-kira 30 delegasi, termasuk dari India, Jepun dan Australia dipelawa menyertai rundingan di Stockholm. – Gambar EPA, 13 Mei, 2023.

MENTERI dan wakil Kesatuan Eropah (EU) pada Sabtu mengdakan perbincangan dengan rakan sejawatan dari wilayah Indo-Pasifik di Stockholm yang antara lain menumpukan kepada isu cabaran keselamatan dan kerjasama ekonomi, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Kira-kira 30 delegasi, termasuk dari India, Jepun dan Australia dipelawa menyertai rundingan itu manakala China dan Taiwan tidak mengambil bahagian.

Rantau itu menjana kira-kira 60% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dan diunjurkan menghasilkan 67% pertumbuhan KDNK pada 2023. 

EU mengharapkan kerjasama ekonomi dengan negara-negara berkenaan untuk menentang konfrontasi, memandangkan Laut China Selatan dan Selat Taiwan yang menjadi laluan penting untuk aliran perdagangan global turut menjadi arena peningkatan ketegangan geopolitik.

Menteri-menteri berkenaan dijangka membincangkan pelbagai cabaran keselamatan yang melanda rantau itu, termasuk mengenai pertumbuhan yang mampan dan inklusif serta langkah memerangi perubahan iklim. – Bernama, 13 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen