Rundingan kerusi Pakatan-BN 95% selesai, kata naib presiden PKR 


Naib Presiden PKR Chang Lih Kang yakin gandingan PH-BN pada PRN ini akan tampil lebih teratur.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2023.

RUNDINGAN pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di kesemua enam negeri, kini hampir 95% selesai.

Naib Presiden PKR Chang Lih Kang berkata proses rundingan setakat ini berjalan baik dan beliau yakin gandingan PH-BN pada PRN ini akan tampil lebih teratur.

“Rundingan kerusi hampir selesai … cuma ada sikit sini sana yang belum selesai, tetapi secara amnya rundingan kerusi berjalan dengan aman dan baik,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Projek Hebat II, Wau Rocketery Universiti Sains Malaysia di Nibong Tebal hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pilihan Raya Umno Reezal Merican Naina Merican berkata semua rundingan yang dijalankan diperhalusi dari semasa ke semasa untuk mencapai persefahaman lebih baik sehingga keputusan akhir dapat dimuktamadkan.

“Setiap rundingan berteraskan formula gagasan Kerajaan Perpaduan demi memastikan pembelaan kepada rakyat serta memacu negara ke arah lebih baik, manakala berhubung pembahagian kerusi kita ada perimeter yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbukanya di Kepala Batas, semalam.– Bernama, 13 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen