Kanak-kanak 6 tahun belajar memandu dari Youtube


Kereta yang dipandu budak lelaki itu terbabas di tepi jalan selepas pulang dari sebuah kedai bersama adiknya berusia tiga tahun. – Gambar Facebook, 13 Mei, 2023.

KANAK-kanak lelaki berusia enam tahun yang memandu kereta bapanya sejauh 2.5km sebelum terbabit kemalangan di Langkawi memberitahu polis dia belajar memandu dengan menonton video di Youtube, lapor Utusan Malaysia.

Polis berkata, siasatan awal juga mendapati budak itu turut belajar dengan mengamati cara bapanya memandu.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata, polis tidak menemui mana-mana simulator memandu di rumah budak itu seperti yang didakwa orang ramai.

“Gambar yang ditularkan tersebut bukan gambar kanak-kanak yang memandu kereta Toyota Vios sehingga menyebabkan kemalangan,” beliau dipetik sebagai berkata.

Dalam kejadian Selasa lalu, kereta yang dipandu budak lelaki itu terbabas di tepi jalan selepas pulang dari sebuah kedai bersama adiknya berusia tiga tahun.

Kejadian itu mendapat perhatian orang ramai sebelum video kejadian tular di media sosial.

Polis sebelum ini mengesahkan budak lelaki berusia enam tahun itu tahu memandu termasuk menggunakan gear.

Budak itu juga menunjukkan kepada polis cara untuk menghidupkan enjin dan cara menggunakan brek tangan.

Lima saksi termasuk datuk kanak-kanak itu dipanggil untuk membantu polis dalam kejadian itu.

Shariman berkata, kertas siasatan hampir siap dan akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya Alor Setar untuk tindakan lanjut.

“Kanak-kanak tersebut juga akan dirujuk kepada Pusat Temuduga Kanak-Kanak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bagi mendapatkan keterangan menyeluruh,” katanya.  – 13 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen