KERAJAAN perpaduan yang didukung pelbagai parti politik tidak pernah melupakan agenda kepentingan Melayu dan Islam, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno itu berkata perjuangan kerajaan perpaduan adalah selari dengan objektif penubuhan dan perjuangan Umno iaitu untuk agenda Melayu serta Islam, dan pada masa yang sama kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu juga tidak akan mengenepikan agenda agama dan bangsa lain dalam negara.
“Ini termaktub di dalam perlembagaan Umno, bahawa kita menjadikan agama Islam sebagai objektif penubuhan dan perjuangan parti, tanpa mengenepikan mana-mana agama,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Badan Perhubungam Umno Negeri Perlis di Dewan Sivik di Arau hari ini.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah isteri Zahid, Hamidah Khamis, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis Rozabil Abd Rahman dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Mahdzir Khalid.
Sementara itu ketika dirujuk mengenai peluang Umno di Kelantan dan Terengganu dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti, Zahid berkata beliau yakin sokongan rakyat kini sudah beralih kepada kerajaan perpaduan.
“Saya yakin trend telah berubah haluan daripada ‘Anti-Establishment’ kepada ‘Pro-Establishment’ dengan keyakinan yang tinggi terhadap kerajaan perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.– Bernama, 12 Mei 2023.
Komen