Orang Asli Ulu Geruntum dapat kebenaran rayuan bantah projek empangan hidro


Noel Achariam

Projek empangan hidroelektrik mini di Ulu Geruntum melibatkan enam perkampungan Orang Asli antaranya Kampung Sungai Kapor, Kampung Sungai Sat, dan Kampung Sungai Poh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mei, 2023.

MAHKAMAH Persekutuan memberi penduduk Orang Asli dari Ulu Geruntum, Gopeng kebenaran untuk membuat rayuan menghentikan dua syarikat daripada meneruskan kerja berkaitan projek empangan hidroelektrik mini di tanah adat mereka.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusannya semalam berkata pemohon memenuhi syarat di bawah Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Peguam Vinu Kamalananthan yang mewakili kumpulan Orang Asli itu berkata mahkamah tertinggi itu membenarkan kebenaran berkenaan selepas berpuas hati dengan hujahan yang diberikan.

“Kami pada masa ini sedang menunggu tarikh untuk rayuan substantif.

“Ini akan menjadi rayuan Orang Asli berkenaan mengapa injunksi tidak patut diketepikan oleh Mahkamah Rayuan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada 21 April, 2021 Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Ipoh G Bhupindar Singh memberikan Orang Asli berkenaan kebenaran perintah injunksi interlokutori terhadap Perak Hydro Renewable Energy Corporation Sdn Bhd dan Conso Hydro atau ejen mereka sehingga tuntutan saman utama dibatalkan.

Bagaimanapun, pada 1 April tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengenepikan perintah injunksi itu.

Vinu berkata langkah berikutnya ialah Mahkamah Persekutuan akan mendengar hujahan mereka berkenaan kenapa Mahkamah Rayuan tersilap dalam mengenepikan perintah injunksi itu.

“Memandangkan keputusan Mahkamah Rayuan dikekalkan, perintah henti kerja kembali berkuatkuasa sehingga pelupusan rayuan di Mahkamah Persekutuan.”

Beliau berkata anak guamnya memohon deklarasi supaya pemaju menghentikan semua kerja berkaitan projek empangan hidroelektrik mini itu.

“Anak guam saya juga mahu tanah adat mereka diisytihar dan diwartakan sebagai tanah adat suku Semai.”

Pada 2018, seramai 22 Orang Asli memfailkan saman dengan menamakan dua syarikat swasta, kerajaan negeri Perak, Pejabat Tanah dan Galian Perak dan kerajaan Persekutuan sebagai dendan.

Orang Asli suku Semai itu mahu projek itu dihentikan kerana mendakwa pemegang konsesi, Perak Hydro memusnahkan kubur nenek moyang mereka dan merosakkan tanaman untuk membina jalan ketika melakukan kerja pembangunan di tanah mereka.

Suku Semai berjuang membantah projek empangan mini hidro itu sejak 2012.

Projek di Ulu Geruntum itu melibatkan enam perkampungan antaranya Kampung Sungai Kapor, Kampung Sungai Sat, dan Kampung Sungai Poh. – 12 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen