AGENSI antitrust Itali, AGCM melancarkan siasatan terhadap syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS), Apple, atas dakwaan penyalahgunaan kedudukan dominannya dalam pasaran aplikasi, lapor Agensi Anadolu.
AGCM berkata sejak April 2021, syarikat berkenaan dianggap mengambil pendekatan polisi privasi yang lebih terhad terhadap pembangun aplikasi pihak ketiga berbanding yang diterapkan kepadanya.
AGCM mendakwa pembangun luaran dan pengiklan mengalami kekurangan “kualiti data yang dibekalkan oleh Apple”.
Selain itu, ia menambah pembangun aplikasi luaran menerima maklumat berkualiti rendah mengenai keberkesanan kempen pengiklanan mereka di dalam aplikasi.
“Oleh itu, menurut pihak berkuasa, perlakuan diskriminatif oleh Apple dapat menyebabkan penurunan pendapatan pengiklanan untuk pengiklan luaran.”
Di bawah undang-undang persaingan EU, syarikat yang terbukti bersalah melakukan penyalahgunaan dominasi pasaran berisiko dikenakan denda sehingga 10% daripada jumlah jualan tahunannya. – Bernama, 12 Mei, 2023.
Komen