Bekas presiden Perancis dituduh terima sumbangan haram bagi kempen pilihan raya


Bekas presiden Nicolas Sarkozy dan 12 kroninya didakwa terima sumbangan haram untuk kempen pilihan raya. – Gambar AFP, 12 Mei, 2023.

PEJABAT pendakwaan kewangan Perancis mendakwa bekas presiden Nicolas Sarkozy dan 12 kroninya atas dakwaan menerima sumbangan haram untuk kempen pilihan raya, lapor agensi berita Jerman, dpa.

Sarkozy, 68, dituduh mencuri dana awam, rasuah, perkumpulan jenayah dan pembiayaan kempen haram, menurut pejabat pendakwaan di Paris semalam.

Belum jelas tarikh perbicaraan akan berlangsung.

Badan kehakiman Perancis membuka kertas siasatan terhadap bekas pemimpin itu pada 2018.

Beliau disyaki rasuah, menerima pembiayaan haram, dan membantu serta bersubahat dalam penyelewengan dana awam Libya.

Prosiding itu dimulakan selepas terdapat tanda-tanda bahawa wang untuk kempen pilihan raya Sarkozy pada 2007 disalurkan secara haram daripada rejim pemerintah Libya ketika itu Moamer Gaddafi.

Antara 12 defendan lain ialah bekas menteri bajet Éric Woerth, bekas ketua biro Sarkozy, Claude Guéant dan bekas menteri Brice Hortefeux. – Bernama, 12 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen