CHINA masih perlu mengimport durian kerana pengeluaran dalam negaranya belum mampu menampung permintaan, menurut Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).
Ketua pengarahnya, Mohamad Zabawi Abdul Ghani dilaporkan yakin eksport durian Malaysia tidak akan terjejas sekurang-kurangnya untuk tempoh 10 tahun akan datang.
Laporan Utusan Malaysia memetik beliau mengulas pengeluaran durian di Pulau Hainan, China seluas lebih 2,000 hektar yang dijangka mula mengeluarkan 2,450 tan durian semusim bemula Jun.
“Tidak perlu bimbang, mereka tanam tidak seluas mana pun jika mahu dibandingkan dengan jumlah penduduk republik itu. Jauh sangat.
“Walaupun mereka cadang untuk memperluaskan tanaman kepada 3,333 hektar dengan pengeluaran kira-kira 67,000 tan metrik durian pun belum tentu cukup untuk rakyat mereka,” katanya.
Menurutnya, China dijangka mampu mengeluarkan sehingga 10 tan dalam tempoh empat tahun akan datang.
“Misalnya, selepas empat tahun, sudah masuk tahun kedua dan boleh menghasilkan lebih banyak durian. Contoh, dalam 10 tan, paling-paling tidak pun dalam dua atau tiga kontena saja.
“Daripada jumlah itu kita masih boleh mengeksport durian ke China kerana jumlah itu masih tidak dapat memenuhi permintaan peminat raja buah di republik itu,” katanya seperti dipetik.
Beliau juga percaya pelanggan di China lebih menggemari durian Malaysia yang dikeluarkan dengan kaedah tanaman lebih maju berbanding hasil keluaran Thailand.
“Selain itu berdasarkan dapatan kajian yang pernah kita lakukan, 95% rakyat republik itu menyatakan durian Malaysia lebih baik berbanding Thailand.
“Kita ada pakej teknologi penanaman sedangkan China baru belajar dan itu saya rasa tidak perlu ada kebimbangan dalam pasaran durian negara,” jelasnya.
Pengeluaran durian di China itu mencetus kebimbangan di kalangan pengusaha tempatan.
Kawasan seperti Raub di Pahang menempatkan perusahaan tanaman durian berskala besar yang turut melibatkan kilang sejuk beku bagi eksport. – 12 Mei, 2023.
Komen