PJD Link bukan penjenamaan semula Kidex, kata syarikat konsesi 


Ketua Pegawai Eksekutif PJD Link Amrish Hari Narayanan berkata lebuh raya itu adalah sistem penyuraian lalu lintas untuk membantu penduduk Petaling Jaya mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.– Gambar laman web PJD Link, 12 Mei, 2023.

LEBUHRAYA PJD Link yang mendapat bantahan penduduk, bukanlah penjenamaan semula Lebuhraya Kinrara Damansara (Kidex) yang dibatalkan pada 2015, kata syarikat konsesinya.

Ketua Pegawai Eksekutif PJD Link Amrish Hari Narayanan berkata perbezaannya ialah PJD Link adalah sistem penyuraian lalu lintas untuk membantu penduduk Petaling Jaya mengatasi masalah kesesakan lalu lintas manakala Kidex menawarkan sedikit faedah kepada penduduk PJ.

“Kidex direka bentuk untuk menjadi penghubung langsung antara Damansara dan Kinrara di Puchong, memintasi PJ.

“Sebaliknya, PJD Link direka bentuk untuk menjadi sistem penyuraian lalu lintas,” katanya dalam satu temu bual bersama FreeMalaysiaToday.

Projek Kidex gagal mendapat kelulusan yang diperlukan dan akhirnya dibatalkan.

Amrish, yang merupakan bekas eksekutif Kidex, berkata PJD Link mempunyai persimpangan, tanjakan dan sambungan mencukupi yang akan meningkatkan kesalinghubungan bagi penduduk PJ kerana mereka akan dapat mengakses lebih banyak mod pengangkutan yang menyediakan perkhidmatan di Greater Klang Valley.

Beliau berkata inilah sebabnya dakwaan PJD Link adalah “Kidex yang dijenamakan semula” adalah tidak tepat.

Amrish juga berkata PJD Link direka bentuk dengan maklum balas pihak berkepentingan, termasuk penduduk dan pemilik hartanah di PJ.

Menjelaskan lebih lanjut, Amrish berkata salah satu masalah dengan Kidex ialah pencerobohannya ke tanah kediaman dan komersial di sekitar apa yang dipanggil ‘PJ Loop’ di tengah-tengah bandar.

“Sebaliknya, PJD Link melalui ‘PJ Loop’ menerusi kawasan perindustrian dan komersial. Terdapat juga tanjakan masuk dari Jalan Kemajuan, dan tanjakan masuk dan keluar dari dan ke Lebuhraya Persekutuan.”

Beliau berkata, syarikat itu mengadakan libat urus secara aktif dengan penduduk dan pihak berkepentingan untuk menerangkan dan memberikan butiran lanjut mengenai PJD Link, serta menjelaskan sebarang salah tanggapan bahawa ia serupa dengan Kidex.

Minggu lalu, penduduk PJ memberitahu The Malaysian Insight pihak berkuasa harus mencari skim penyuraian trafik yang lebih sesuai.

Mereka mengulangi pendirian untuk projek itu dibatalkan, terutamanya apabila mereka mendakwa perunding projek mengatakan lebuh raya itu serupa dengan Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) yang kini dibatalkan. – 12 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen