Konvensyen nasional kerajaan perpaduan: Ke mana hala tujunya?


PADA hari Ahad 14 Mei 2023 akan berlangsung satu konvensyen nasional julung-julung kali kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur.

Langkah mengadakan konvensyen tersebut merupakan satu inisiatif positif bagi kerajaan perpaduan yang mentadbir di Putrajaya sekarang. 

Ia memberi makna kerjasama parti-parti politik yang membentuk kerajaan perpaduan ini ingin diterjemahkan menjadi kerjasama politik yang lebih mantap dan tersusun dari peringkat atas hinggalah ke peringkat akar umbi di ranting-ranting dan di cawangan-cawangan organisasi parti di seluruh negara.

Kewujudan konvensyen nasional ini juga memberi petanda bahawa kerjasama dalam bentuk kerajaan perpaduan di peringkat kerajaan persekutuan bukanlah sekadar muafakat semusim dan sepenggal hingga ke pilihanraya umum akan datang sahaja. 

Nampaknya usaha secara sedar atau tidak sedang diatur untuk membentuk satu pakatan berupa super gabungan yang mega yang memayungi dua gabugan Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN).

Keperluan mengadakan konvensyen nasional kerajaan perpaduan itu pada Ahad 14 Mei ini begitu mendesak kerana didorong dari cabaran yang sedang menanti iaitu pilihan raya di enam buah negeri di Semenanjung tidak lama lagi.

Kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim tentu tidak mahu mengulangi kesilapan kerajaan persekutuan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan BN bawah Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang memasuki pilihan raya di negeri Melaka dan Johor setahun yang lalu dalam keadaan berpecah dan cacamerba sehingga sesama sendiri bertempur dalam pilihan raya di negeri-negeri tersebut.

Jika Anwar Ibrahim berjaya memimpin gabungan parti-parti di dalam kerajaan perpaduan memasuki pilihanraya di enam negeri nanti dengan keadaan tersusun dan teratur, tidak bertanding melawan sesama sendiri, sebaliknya, siapa jua calon-calon yang bertanding adalah mewakili kehendak dan mandat dari kerajaan perpaduan walau apapun logo parti yang dipakai, maka imej kerajaan perpaduan akan muncul dengan wajah yang penuh wibawa mewakili gabungan super mega.

Menang atau kalah dalam pilihan raya di enam negeri akan datang ini mempunyai kesan kepada kelangsungan survival kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.

Sekiranya gabungan supermega PH dan BN di Semenanjung mencapai kemenangan selesa dalam pilihan raya di enam negeri nanti, maka ada besar kemungkinan kerjasama PH dan BN di Semenanjung akan mengalami perubahan kualitatif yang menjurus kepada transformasi bentuk dan intipati.

Jadi Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada Ahad 14 Mei 2023 ini wajar diberi perhatian serius.

Satu sejarah politik di peringkat nasional sedang dalam pembikinan serupa sedikit sebanyak apa yang Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Kedua lakukan menjelang Pilihan Raya Umum tahun 1974 apabila satu gabungan supermega bernama Barisan Nasional terbentuk menggantikan gabungan Perikatan.

Apakah Anwar Ibrahim mengikut jejak Tun Abdul Razak? – 12 Mei, 2023.

* Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen