Ditolak RoS, Parti Kuasa Rakyat pertimbang langkah seterusnya, kata pengasas


Ravin Palanisamy

Parti Kuasa Rakyat ketika dilancarkan pada Oktober 2021, berikrar untuk memperjuangkan nasib golongan miskin dan ia diasaskan Kamarazaman Yaakob, abang kepada bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mei, 2023.

JABATAN Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menolak permohonan Parti Kuasa Rakyat (Kuasa) untuk didaftarkan sebagai parti politik, kata pengasasnya Kamarazaman Yaakob.

Kamarazaman yang juga abang kepada bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob, berkata permohonan itu ditolak beberapa bulan lalu, tetapi tidak dapat mengesahkan tarikh sebenar menerima makluman daripada RoS.

“Mesyuarat jawatankuasa pusat akan diadakan tidak lama lagi, mungkin selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, bagi tindakan selanjutnya.

“Jawatankuasa akan membincangkan sama ada untuk merayu keputusan RoS atau menghantar permohonan baharu. Buat masa ini belum ada keputusan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Parti itu yang diancarkan pada Oktober 2021, berikrar untuk memperjuangkan nasib golongan miskin.

Kamarazaman mendakwa parti itu mempunyai lebih 70,000 ahli.

Ketika pelancarannya, Kamarazaman yang berasal dari Pahang dan lebih mesra dikenali sebagai Bung Zaman, berkata parti itu akan mesra Barisan Nasional (BN) gabungan yang menerajui kerajaan pada masa itu.

Pada Disember tahun sama, Kamarazaman mengambil alih parti berasaskan India, Parti Tindakan Hak Minoriti (Mira) dalam usahanya mendaftarkan Kuasa secara rasmi dengan RoS. Beliau kemudian dilantik sebagai presiden protem Mira.

Bekas ahli jawatankuasa kerja pusat MIC K. Palanisamy yang mengetuai Mira, berkata parti itu akan mengekalkan namanya hingga ia ditukarkan kepada Kuasa.

Bagaimanapun, pada Februari 2022, Kamarazaman digugurkan daripada jawatan presiden Mira, memetik isu teknikal, yang berbangkit daripada status permohonan Kuasa dengan RoS.

Pada Ogos 2022, Kuasa mengumumkan kerjasama strategik dengan Parti Bangsa Malaysia (PBM) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Dua bulan kemudian, Kamarazaman berkata Kuasa tidak akan bekerjasama dengan PBM berikutan perbezaan ideologi.

Kamarazaman berkata parti itu tidak akan menyertai pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Kami berpendapat tidak patut untuk kami bergerak sebagai parti yang tidak berdaftar,” katanya.

Kamarazaman berkata selagi jawatankuasa pusat tidak memutuskan tindakan selanjutnya, Kuasa tidak ada sekatan kepada ahlinya berkenaan keputusan mereka untuk menyokong mana-mana parti pada PRN.

“Terpulang kepada individu hendak sokong siapa pada PRN ini, tidak kiralah kerajaan atau pembangkang,” katanya.

Kamarazaman sebelum ini berkata hasratnya untuk menjadikan Kuasa parti komponen dalam BN. – 12 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen