China lancar kapal angkasa kargo Tianzhou-6


China berjaya melancarkan kapal angkasa kargo Tianzhou-6 menggunakan roket pembawa Long March-7 Y7 dari Tapak Pelancaran Angkasa Lepas Wenchang malam semalam. – Gambar Facebook, 11 Mei, 2023.

CHINA berjaya melancarkan kapal angkasa kargo Tianzhou-6 menggunakan roket pembawa Long March-7 Y7 dari Tapak Pelancaran Angkasa Lepas Wenchang di provinsi Hainan tepat 9.22 malam semalam.

Selepas memasuki orbit yang ditetapkan, Tianzhou-6 bercantum dengan pangkal belakang modul teras Tianhe di stesen angkasa pada 5.16 pagi tadi.

Ia merupakan misi penerbangan yang pertama selepas projek penerokaan angkasa lepas bermanusia China memasuki fasa pengaplikasian dan pembangunan.

Tianzhou-6 sarat dengan muatan seperti pakaian, makanan dan minuman, antaranya buah segar seberat kira-kira 70kg yang dibekalkan kepada semua kru Shenzhou-15 dan Shenzhou-16.

Menurut rancangan, kru angkasawan Shenzhou-15 akan membuka pintu kabin Tianzhou-6 pada 8 pagi Jumaat untuk mengambil barang berkenaan.

Dalam perkembangan lain, kapal angkasa Shenzhou-16 dijadual dilancarkan pada bulan ini. – Bernama, 11 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen