Mexico dakwa AS usir lebih 2.8 juta migran di bawah 'Title 42'


Pandangan udara pegawai Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat di sempadan AS-Mexico. Lebih 2.8 juta pendatang diusir di lintasan sempadan itu dalam tempoh lebih tiga tahun di bawah “Title 42”. – Gambar AFP, 11 Mei, 2023.

AMERIKA Syarikat (AS) mengusir lebih 2.8 juta pendatang di lintasan sempadannya dalam tempoh lebih tiga tahun di bawah “Title 42”, sekatan berkaitan Covid-19 yang akan tamat hari ini, menurut pihak berkuasa Mexico, lapor Xinhua .

Daripada 2,825,970 orang yang diusir sebahagian besar dihantar pulang di sempadan AS-Mexico (2,710,494), dengan enam daripada 10 adalah rakyat Mexico (1,641,746), menurut Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataan pada Khamis.

Sebahagian besar baki migran yang dihantar pulang di sempadan selatan adalah dari negara termasuk Guatemala, Honduras, El Salvador dan Nicaragua.

Pada Mac 2020, dasar “Title 42” diperkenalkan oleh bekas Presiden AS Donald Trump membenarkan pengusiran migran semasa pandemik Covid-19.

Dengan berakhirnya “Title 42”, pihak berkuasa Mexico dan AS menjangkakan peningkatan jumlah migran yang ingin masuk ke AS.

Sehubungan dengan itu Kementerian Luar Mexico memaklumkan akan memperkukuh bantuan dan perlindungan konsulnya di AS untuk melindungi hak warga Mexico. – Bernama, 11 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen