Putrajaya didakwa berat sebelah salur bantuan banjir Pulau Pinang


Muzliza Mustafa

Penduduk Pulau Pinang hanya menerima RM250 berbanding RM500 yang diterima mangsa banjir di negeri lain, dan hanya 21,869 daripada 52,353 keluarga menerima bantuan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2018.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim (DAP) hari ini mempersoalkan layanan berat sebelah kerajaan persekutuan kepada mangsa banjir di Pulau Pinang yang didakwanya menerima hanya separuh bantuan banjir dibandingkan dengan mangsa banjir di negeri lain.

Sim mengatakan mangsa banjir di Kelantan dan Perlis menerima bantuan kewangan sebanyak RM500 setiap keluarga, sedangkan mangsa banjir di Pulau Pinang hanya menerima separuh daripada jumlah itu.

Selain jumlah bantuan diterima mangsa banjir negeri ditadbir DAP itu adalah RM250, hanya 21,869 daripada 52,353 keluarga yang terjejas kerana banjir besar tahun lepas itu akan menerima bantuan, kata Steven lagi.

Beliau mengatakan alasan yang diberikan bahawa kerajaan persekutuan tidak mempunyai bajet mencukupi bukanlah jawapan yang bijak, kerana Putrajaya sangup membelanjakan jutaan ringgit untuk “perang propaganda”di Pulau Pinang.

Sim sebelum ini ada membangkitkan isu itu dalam sidang Dewan Rakyat beberapa hari lalu dan menurutnya jawapan yang diterima sangat mengecewakan.

“Sangat mengecewakan dan mengejutkan kerana BN berbelanja jutaan ringgit di Pulau Pinang untuk mengeluarkan video profesional menyebarkan berita palsu, membayar iklan dalam akhbar dan memulakan perang poster untuk menjatuhkan kerajaan negeri tetapi mereka kata tak ada duit untuk bantu mangsa banjir Pulau Pinang,” katanya.

Ribut selama 17 jam November lepas melumpuhkan negeri utara itu menyebabkan banjir besar, tanah runtuh dan menumbangkan pokok.

Ribuan terpaksa dipindahkan dan tujuh kematian dilaporkan.

Steven mengatakan beliau tidak meminta banyak perkara kecuali kerajaan persekutuan memberikan bantuan yang sama kepada mangsa banjir Pulau Pinang seperti mana yang diterima mangsa bencana di negeri lain.

“Kami tak minta jumlah yang sama diberikan kerajaan Pulau Pinang, tetapi hanyalah bantuan yang sama seperti mana kerajaan persekutuan berikan kepada mangsa banjir di negeri lain,” katanya.

Disember lalu, kerajaan negeri memperuntukkan RM36.6 juta kepada 52, 353 keluarga yang terjejas kerana banjir, sebulan selepas bencana itu berlaku seterusnya menjadikan bantuan diterima setiap keluarga adalah RM700. – 21 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen