PROJEK tambak laut Pulau Pinang Selatan (PSI) kini dikurangkan daripada tiga kepada hanya satu pulau sahaja, umum Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Chow dilapor media berkata, keputusan itu selari dengan permintaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini.
Projek tambak laut itu hanya akan melibatkan kawasan 930.1 hektar atas sebuah pulau di selatan landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang berbanding tiga pulau berkeluasan 1.821 hektar sebelum ini, katanya.
Tambah beliau selepas dikecilkan kepada satu pulau, hanya 115 nelayan akan terjejas akibat projek PSI berbanding 496 nelayan jika tiga pulau buatan dibina.
“Secara keseluruhan, pembangunan Silicon Island (dahulu Pulau A) akan mengambil masa kira-kira 20 tahun, termasuk pembangunan bahagian atas,” katanya dipetik Free Malaysia Today pada sidang media di George Town hari ini.
Pada 26 April lalu, Chow dilapor berkata Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi PSI mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Kelulusan itu dimaklumkan menerusi surat daripada JAS Putrajaya, bertarikh 11 April kepada setiausaha kerajaan Negeri Pulau Pinang, katanya.
PSI asalnya merupakan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan kira-kira 1,821 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas, namun mendapat bantahan komuniti nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar kerana didakwa akan merosakkan ekosistem laut.
Chow berkata kelulusan EIA sudah muktamad dengan 71 syarat perlu dipatuhi. Syarat itu disiarkan di laman sesawang rasmi milik kerajaan negeri minggu lalu.
Kerajaan Pulau Pinang bercadang membiayai projek PSI melalui penjualan tanah dan hartanah tebus guna.
Pengumuman mengenai pengurangan skala projek PSI kepada hanya satu pulau bagaimanapun dibantah Sahabat Alam Malaysia (SAM).
Presidennya Meenakshi Raman berkata walau dikecilkan ia masih dikategorikan sebagai berskala besar dan perlu dibatalkan.
“Pengecilan skop yang diumumkan kerajaan negeri masih tidak boleh diterima kerana kesannya tetap sama iaitu akan menjejaskan ekosistem hidupan laut serta alam sekitar.
“Selain itu, kerja pengorekkan pasir akan melibatkan jumlah pasir yang sangat banyak dan ia akan melibatkan bukan sahaja perairan di Pulau Pinang malah di Perak. Kerja pengorekkan pasir ini akan menyebabkan kesan yang amat besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Meenakshi berkata projek PSI akan memusnahkan dataran lumpur, terumbu karang selain menjejaskan habitat marin dan pergerakan udang.
“Ia bermakna, walaupun skop dikecilkan, projek ini tetap akan menjejaskan nelayan di sepanjang perairan Pulau Pinang, Kedah dan Perak.
“Oleh itu, hapuskan terus Projek PSI dan bukannya mengecilkan skala pada skopnya,” katanya. – 11 Mei 2023.
Komen