Zahid seru Umno lebih progresif tangkis politik toksik pembangkang


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata musuh Umno terus cuba membina propaganda negatif kerana tidak senang dengan kedudukan parti itu sekarang yang kini sebahagian daripada kerajaan perpaduan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mei 2023.

AHMAD Zahid Hamidi hari ini menyeru seluruh ahli membina Umno yang lebih progresif dan terkedepan dengan idea-idea segar untuk menangkis politik toksik pembangkang, sempena ulang tahun ke-77 parti itu hari ini.

Politik toksik pembangkang direncahkan dengan perkauman yang sempit dan sentimen tunggangan agama melampau tanpa memikirkan tanggungjawab untuk membina negara bangsa, kata presiden Umno.

Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, musuh Umno terus cuba membina propaganda negatif kerana tidak senang dengan kedudukan parti itu sekarang.

Umno kini sebahagian daripada kerajaan perpaduan.

“Musuh tersebut terus ghairah menanamkan perasaan benci dan prejudis yang melampau dalam pemikiran rakyat terutamanya anak-anak muda kita yang baru sahaja bersemangat dalam menunaikan tanggungjawab demokrasi masing-masing.

“Permainan persepsi ini diasak-asak sepanjang masa sehingga membentuk satu realiti yang merbahaya di dalam pemikiran dan kehidupan rakyat.

“Politik nilai, politik khidmat, ikhtiar untuk membina negara yang terbaik, iltizam politik untuk meletakkan Negara pada landasan ekonomi yang kukuh dan terbaik semuanya diketepikan, dan digantikan dengan kebencian dan dendam kesumat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pembangkang bukannya tidak sedar kesan buruk akibat propaganda ini, tambah Zahid.

“Tetapi memilih dengan sengaja untuk memejamkan mata dan membiarkan anak muda kita terus terbuai sehingga membelakangkan semangat perpaduan yang menjadi asas kekuatan negara.”

Oleh itu katanya, peranan Umno dalam kerajaan perpaduan memberi peluang kepada parti itu menggalas tanggungjawab mentadbir negara dengan baik dan membuktikan kebolehan untuk memimpin harapan rakyat.

“Cara kita membina negara perlu lebih cekap dan bermaruah serta berintegriti.

“Kita mendukung nilai-nilai hormat dan saling kebertanggungjawaban antara kita dan juga rakan-rakan kita dalam kerajaan perpaduan.

“Kita mengambil pendirian rasional dan mengiktiraf bahawa kita boleh bergerak seiringan. Bukan sahaja dalam aspek nilai-nilai yang kita kongsi bersama, tetapi juga dalam menentukan hala tuju Malaysia yang terbaik,” tegasnya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah memberi kesedaran bahawa demokrasi bukanlah satu anugerah tetapi hak rakyat.

Sempadan ruang demokrasi bukan ditentukan oleh pemerintah, sebaliknyahanya akan diperolehi melalui perjuangan rakyat, katanya.

“Marilah kita jalin dengan semangat muhibah, setiakawan untuk kita bina parti ini dengan kekuatan yang padu dan satu.

“Mari kita jayakan tata kelola politik baharu yang matang dan segar agar Umno menjadi sebuah parti yang berdisiplin, mendahului kepentingan parti mendahului kepentingan individu, cekap dan efisien, dan seterusnya membuktikan kepada rakyat bahawa parti ini tidak akan sesekali mensia-siakan harapan rakyat,” seru presiden Umno. – 11 Mei 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen