Presiden Filipina gesa negara maju penuhi obligasi perubahan iklim 


Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos pada Rabu menggesa negara maju supaya memenuhi komitmen mengenai perubahan iklim.– Gambar EPA, 11 Mei, 2023.

PRESIDEN Ferdinand Romualdez Marcos pada Rabu menggesa negara maju supaya memenuhi komitmen mengenai perubahan iklim dan berikrar bahawa Filipina akan mengambil langkah berani untuk beralih kepada teknologi tenaga boleh baharu dan alternatif secara selamat serta mampan.

“Negara-negara maju mempunyai kewajipan moral untuk menyokong usaha penyesuaian dan mitigasi negara yang paling terdedah melalui pemindahan teknologi, pembinaan kapasiti dan pembiayaan iklim untuk menangani kerugian dan kerosakan dan untuk mencapai kejayaan yang diperlukan untuk tindakan iklim pada skala global,” kata Marcos pada Sidang Kemuncak Asean di Labuan Bajo Indonesia.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Komunikasi Presiden, Marcos menggesa anggota Asean supaya bersatu padu, lapor Xinhua.

“Walaupun negara membangun seperti Filipina hanya menyumbang kurang daripada satu peratus daripada pelepasan global, negara kita menanggung kesan buruk akibat perubahan iklim,” kata Marcos.

Filipina kaya dengan logam kritikal seperti aluminium, nikel dan kromit, yang cekap tenaga untuk dihasilkan.

“Menyedari bahawa masa depan tenaga yang lebih bersih berpaksikan kepada pembekalan mineral kritikal, Asean kini harus mula meningkatkan kerjasama serantau ke arah meningkatkan rantaian nilai logam dan mineral industri strategik di rantau ini,” katanya.

Sidang Kemuncak Asean ke-42 bermula di Labuan Bajo di timur Indonesia pada hari Rabu.

Pada sidang pleno itu, presiden Filipina turut membangkitkan kebimbangannya terhadap penduduk yang semakin menua di rantau itu.

Memetik data Bank Pembangunan Asia, Marcos berkata satu daripada empat orang di rantau Asia Pasifik akan berusia lebih 60 tahun menjelang 2050.

“Saya fikir sudah tiba masanya Asean mula membincangkannya. Isu penuaan mesti dilihat sebagai peluang dan cabaran…,” katanya. – Bernama, 11 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen