10 anggota polis diculik IS di Iraq


Militan IS telah meletakkan satu pos pemeriksaan palsu di jalan raya utama berhampiran Himreen sebelum menarik keluar 10 anggota polis terbabit dari dua kereta awam. – Gambar AFP, 21 Mac, 2018.

MILITAN Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS) pada Selasa telah menculik 10 anggota polis yang sedang bercuti di utara ibu kota Iraq, Baghdad, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan sumber polis.

Menurut Mejar Ali al-Obeidi dari polis Kirkuk, militan IS telah meletakkan satu pos pemeriksaan palsu di jalan raya utama berhampiran Himreen sebelum menarik keluar 10 anggota polis terbabit dari dua kereta awam.

Tentera Iraq telah melancarkan satu kempen untuk mencari kesemua anggota polis yang diculik itu.

Militan IS telah melarikan diri dari kubu kuat mereka di kawasan bandar dalam wilayah Mosul, Salahudin dan Hawijah selepas tentera Iraq melancar serangan besar-besaran.

Bagaimanapun, saki-baki militan IS bersembunyi di kawasan berceranggah berhampiran Sungai Tigris dan Zab serta pergunungan Himreen untuk meneruskan serangan mereka terhadap orang awam dan tentera Iraq.

Pada 9 Disember 2017, Perdana Menteri Iraq Haider al-Abadi secara rasmi telah mengisytiharkan pembebasan penuh negara itu daripada cengkaman militan IS selepas pihak tentera merampas semula semua kawasan yang pernah ditawan kumpulan ektremis tersebut. – Bernama, 21 Mac, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen