Bahan api alga gerakkan syarikat penerbangan butik Sarawak, kata Abang Jo


Desmond Davidson

Abang Johari Openg memaklumkan beliau akan membuat pengumuman lanjut ketika pameran Lima di Langkawi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei, 2023.

BAHAN api penerbangan mampan yang dihasilkan tempatan akan menggerakkan syarikat penerbangan butik yang dicadangkan, kata Premier Sarawak Abang Johari Openg hari ini.

Bahan api itu katanya, berasal daripada mikroalga.

Bercakap pada sidang media selepas melancarkan Chitose Carbon Capture Central Sarawak (C4 Sarawak) di loji janakuasa Sejingkat Sarawak Energy Bhd, 18km dari Kuching, premier itu bagaimanapun tidak mendedahkan bila bahan api itu akan diuji pada mana-mana enjin pesawat.

Katanya, beliau akan membuat semua pengumuman itu ketika Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (Lima). Lima akan dilangsungkan dari 23 hingga 27 Mei.

Abang Johari berkata bahan api mampan mesra alam itu boleh dianggap sebagai alternatif kepada bahan api jet fosil semasa dan Sarawak berhasrat menjadi pembekal global bahan api itu untuk syarikat penerbangan.

Beliau berkata beliau mencadangkan kepada rakan kongsi Jepun dalam pengeluaran biojisim mikroalga untuk menetapkan tahap pengeluaran pada 6,000 tan sebulan.

Jika bahan api penerbangan mampan daripada mikroalga berjaya, premier itu berkata Sarawak boleh menjadi Arab Saudi seterusnya, tetapi dalam bahan api mampan, merujuk kepada negara Arab yang memperoleh kekayaannya daripada rizab minyaknya yang banyak.

Syarikat penerbangan butik yang dicadangkan itu dijangka beroperasi dalam tempoh tiga tahun akan datang. – 10 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen