Petronas Dagangan optimis namun waspada prospek tahun kewangan 2023


Pada 2022, perniagaan runcit PDB mencatat rekod jualan tertinggi dengan memanfaatkan kelebihan rangkaian dan pengedarnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei, 2023.

PETRONAS Dagangan Bhd (PDB) kekal optimis namun berhati-hati dengan perniagaan teras dan segmen bukan bahan apinya bagi tahun kewangan 2023.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Azrul Osman Rani berkata pihaknya akan terus memantau cabaran global dan sebarang perubahan dasar yang boleh memberi kesan ke atas operasi PDB.

“Bagaimanapun tetap yakin, kami mempunyai sistem, proses dan mitigasi risiko yang baik… Jadi, anda boleh menjangkakan perkara yang boleh dijangka dan perkara yang akan berlaku.

“Kami juga mempunyai pertimbangan aliran tunai dan mudah tunai untuk memastikan kami dapat mengharungi sebarang gelora yang tidak dijangkakan. Justeru, saya berpandangan, untuk 2023, kami optimis namun berwaspada mengenai prospek kami,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan kali ke-41 PDB di Kuala Lumpur pada Rabu.

Beliau berkata harga minyak mentah dijangka mencecah purata AS$89 setong (AS$1=RM4.44) pada 2023, manakala Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan angka inflasi negara masing-masing diunjurkan menjadi sederhana pada 4.0% dan di antara 2.5% dengan 3.0%.

Azrul berkata ketibaan pelancong, yang dianggarkan meningkat kepada 9.6 juta dan permintaan domestik yang lebih tinggi akan menjadi pemacu prestasi pertumbuhan pada 2023.

“Dari segi penjualan bahan api jet, kami menjangkakan lebih banyak kapal terbang. Sebagaimana sedia maklum, PDB mempunyai penguasaan pasaran terbesar dari segi penjualan bahan api Jet A-1. Jadi, perbandingan suku kedua 2019 dengan suku kedua 2022, (PDB) sudah hampir 80% pulih dari segi penerbangan.

“Jadi, ini adalah trend yang kami akan teruskan dan memenuhi keperluan semua pelanggan kami. Kami menganggarkan 9.6 juta pelancong tahun ini berbanding tiga juta tahun lalu, ini diterjemahkan kepada jumlah bahan api yang lebih tinggi,” katanya.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, keuntungan bersih PDB meningkat kepada RM776.60 juta daripada RM529.75 juta pada tahun kewangan sebelumnya, manakala perolehan menokok kepada RM36.75 bilion daripada RM22.67 bilion.

Syarikat itu juga mengisytiharkan jumlah dividen sebanyak 76 sen bagi setiap saham biasa, yang mewakili nisbah pembayaran 100%.

“Prestasi kewangan PDB yang kukuh merupakan gambaran usaha teguh kami dalam perniagaan teras selain kerja keras dan komitmen daripada warga tenaga kerja kami.

“Kami membuat pelaburan strategik dan berusaha maju berlandaskan pendekatan berfokus. Kami dapat memenuhi keperluan pelanggan dan memberikan pulangan kepada pemegang saham walaupun beroperasi dalam persekitaran pasaran yang mencabar,” katanya.

Pada 2022, perniagaan runcit PDB mencatatkan rekod jualan tertinggi dengan memanfaatkan kelebihan rangkaian dan pengedarnya, penawaran produk bahan api berkelas dunia dan penyelesaian digital yang inovatif.

Syarikat itu melangkah lebih jauh ke dalam ruang mobiliti bukan bahan api dan hijau dengan pelancaran hab pengecasan kenderaan elektrik pertama seumpamanya di Malaysia yang terletak di Stesen Petronas Bandar Baru Ayer Hitam pada November 2022.

Pada tahun sama, perniagaan komersial merekodkan pertumbuhan perolehan luar biasa iaitu kira-kira 300% dalam segmen penerbangan, yang didorong oleh pembukaan semula sempadan domestik dan antarabangsa memandangkan sektor pelancongan terus memperoleh momentum.

Sementara itu, perniagaan gas petroleum cecair (LPG) terus menerajui keseluruhan pasaran dalam segmen isi rumah dan komersial.

PDB terus memudahkan pelanggan dengan memperluas jualan silinder LPG di 91 stesen Petronas lagi dan 160 cawangan Petronas@Mini Market.

Mesra Retail & Cafe Sdn Bhd terus memacu dan mencatatkan prestasi kewangan yang membanggakan dalam segmen perniagaan bukan bahan api dengan peningkatan perolehan sebanyak 24%, melebihi pertumbuhan pasaran dan sektor.

“Perniagaan ini juga melakar pencapaian penting melalui pelancaran dan pengembangan jenama makanan dan minuman kami, Cafe Mesra, yang dioperasikan menerusi lebih 50 cawangan di Semenanjung Malaysia sejak dilancarkan pada Julai 2022,” katanya. – Bernama, 10 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen