Jualan dagangan borong, runcit meningkat 12.8%


Pada Mac 2023, jualan perdagangan borong dan runcit meningkat 11.9% tahun ke tahun kepada RM138.5 bilion. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei, 2023.

JUALAN perdagangan borong dan runcit Malaysia meningkat 12.8% tahun ke tahun kepada RM407.4 bilion pada suku pertama 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan RM46.4 bilion itu disokong oleh subsektor perdagangan runcit yang berkembang RM28.8 bilion atau 19.5% kepada RM176.4 bilion.

“Ini diikuti perdagangan borong yang meningkat 5.5% atau RM9.4 bilion untuk mencecah RM181.1 bilion.

“Subsektor kenderaan bermotor pula berkembang dengan 19.4% atau RM8.1 bilion kepada RM49.9 bilion pada suku tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Mac 2023, Mohd Uzir berkata jualan perdagangan borong dan runcit meningkat 11.9% tahun ke tahun kepada RM138.5 bilion, disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit yang menyaksikan peningkatan jualan sebanyak 17.7% atau RM8.8 bilion kepada RM58.7 bilion.

“Perdagangan borong turut meningkat sebanyak 7.6% atau RM4.4 bilion kepada RM61.6 bilion. Dalam tempoh sama, (jualan) kenderaan bermotor naik 9.3% atau RM1.5 bilion kepada RM18.2 bilion,” katanya.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, katanya jualan perdagangan borong dan runcit naik 3.5%, disokong oleh perdagangan borong dengan pertumbuhan 4.1%, kenderaan bermotor (10.6%) dan perdagangan runcit (0.9%).

Mohd Uzir berkata indeks jualan runcit melalui Internet pada Mac 2023 mencatatkan pertumbuhan 11.7% tahun ke tahun (Februari 2023: 9.4%).

“Bagi nilai pelarasan musim, indeks ini merosot -0.1% berbanding bulan sebelumnya,” katanya.

Dari segi indeks volum, Mohd Uzir berkata perdagangan borong dan runcit pada Mac 2023 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 9.4%.

“Pengembangan itu disumbangkan oleh perdagangan runcit dengan pertumbuhan dua digit sebanyak 13.8%. Perdagangan borong dan kenderaan bermotor turut mencatatkan pertumbuhan positif, masing-masing 6.7% dan 5.6%.

“Bagi indeks volum pelarasan musim, ia turun -0.9% bulan ke bulan,” katanya. – Bernama, 10 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen